Angelina Jolie Ingatkan Dunia Tentang Malapetaka Banjir Pakistan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
ISLAMABAD, 21 September 2022 – Pelakon Hollywood popular Angelina Jolie, membuat lawatan mengejut ke Pakistan untuk menarik perhatian antarabangsa mengenai banjir yang melanda negara itu, kata Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa (IRC).
Tambah IRC, lawatan ini juga dibuat untuk melawat mangsa secara langsung dan mendalami serta memahami keperluan mangsa bagi memudahkan langkah pemulihan dan pembinaan semula.
Jolie dilaporkan telah tiba di Pakistan pada Selasa lalu dan memulakan misi kemanusiaannya sejurus tiba.
View this post on Instagram
Daerah Dadu di wilayah Sindh, salah satu daerah yang paling teruk dilanda penyakit bawaan air adalah antara tempat terawal yang dikunjungi oleh Jolie untuk bertemu mangsa banjir.
View this post on Instagram
Wilayah Sindh merupakan kawasan yang dilanda banjir sejak pertengahan Jun sehingga meragut 692 nyawa, merosakkan ratusan ribu rumah dan menyebabkan setengah juta orang kehilangan tempat tinggal.
Seterusnya, Jolie dilaporkan akan melawat kawasan operasi tindak balas kecemasan dan organisasi tempatan bagi membantu mangsa yang kehilangan tempat tinggal termasuk pelarian Afghanistan.
Sebelum ini, samudera.my pernah melaporkan hampir 500,000 penduduk tinggal di kem selepas kehilangan tempat tinggal dalam banjir yang menyebabkan satu pertiga daripada Pakistan musnah ditenggelami air.
Banjir teruk itu juga telah membawa wabak penyakit bawaan air dan mengancam masa depan pendidikan di negara itu.