Ancaman Pengganas Di Sabah: Perintah Berkurung Dilanjutkan Ke 25 Januari
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KOTA KINABALU, 13 Januari 2022 – Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah menyatakan bahawa perintah berkurung di beberapa kawasan dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dilanjutkan ke 25 Januari 2022, berikut seperti yang dilaporkan oleh portal DEASOKA.
Menurut laporan yang dikongsikan laman Facebook Polis Sabah tersebut, kawasan perairan sekitar Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran dilarang untuk dihampiri antara jam 6 petang hingga 6 pagi.
“Perintah ini diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas…” ujar Datuk Idris Abdullah, Pesuruhjaya Polis Sabah.
Antara ancaman utama yang dikhuatiri di kawasan terbabit adalah kegiatan kumpulan pengganas Abu Sayaf dan kegiatan penculikan bagi mendapatkan tebusan.
Namun, bagi mereka yang menjalankan aktiviti perikanan dan mempunyai keperluan mendesak, mereka dibenarkan untuk melalui kawasan berkenaan setelah mendapat kebenaran pihak berkuasa.
“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daeerah di ESSZONE bagi mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan perikanan atau ada keperluan mendesak,” tambah beliau.