Anak Seni Bersolidariti Bantah Penindasan Muslim Malaysia – Taiyuddin Bakar
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KELANA JAYA, 16 Jun 2022 – Pelakon yang terkenal dengan filem ‘Mael Lambong’, Sallehuddin Abu Bakar turut terpanggil untuk bersolidariti bersama rakyat Malaysia menyatakan bantahan terhadap pihak yang galak mencetuskan konflik tegang antara Muslim dan penganut agama Hindu di India sejak kebelakangan ini.
Beliau yang popular dengan panggilan Taiyuddin Bakar itu berkata, ini bukanlah kali pertama berlakunya konflik tegang di antara Muslim dan penganut agama Hindu di India.
Menurutnya, bagi mereka yang mengetahui akan ehwal kepesatan meningkatnya manusia yang ‘kembali kepada fitrah’ dengan menganut agama Islam lantaran usaha usaha agama yang telah berjalan dan masih terus berjalan hingga kini, maka bukanlah suatu yang menghairankan apabila timbulnya provokasi-provokasi dari pihak yang memilih untuk tidak meyakini firman Tuhan dan sabdaan Nabi S.A.W.
Bagaimanapun jelasnya, kita sebagai rakyat Malaysia tetap prihatin akan isu ini dan bagi saya secara peribadi ianya bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.
Namun, ia sememangnya suatu isu yang harus dipandang serius sehinggakan terbit dalam pemikiran saya bahawasanya isu ini amatlah perlu diselidiki hingga ke akar puncanya.
“Tetapi timbul juga persoalan apakah dakwah haq telah sampai kepada mereka yang mencetus provokasi ini?” soalnya.
Ketika ditanya apakah yang rakyat Malaysia perlu buat untuk tunjukkan tanda solidariti mereka?
Taiyuddin yang baru sahaja selesai menghabiskan penggambaran filem ‘Walid’ arahan Areel Abu Bakar terbitan Layar Pictures Sdn. Bhd turut berpandangan bahawa pertama dan terpenting untuk semua yang terpanggil untuk turut sama menzahirkan sebarang tindak balas adalah perlu benar-benar faham akan maksud solidariti itu sendiri.
Jelasnya, sepatutnya juga umat Islam secara umum perlu mengambil kesempatan atas peristiwa-peristiwa begini untuk bermuhasabah ke atas bagaimana diri masing masing boleh menjadi ‘duta’ yang lebih baik dari masa ke semasa bagi mewakili agama Islam yang sempurna dan murni ini.
Beliau berkata, di dalam menegakkan pembelaan teguh ke atas baginda Nabi Muhammad S.A.W. terhadap penghina, keteguhan yang sama harus juga wujud dalam memainkan peranan dalam menyampaikan risalah-risalah kenabian yang telah diwariskan ke atas bahu kita semenjak wafatnya baginda Rasulullah S.A.W. kepada umat sekalian alam.
Menurut beliau lagi, sungguh apabila di dalam batin setiap umat Islam itu meyakini bahawa sesungguhnya kejayaan hanya dalam agama yang sempurna, taat setiap perintah Allah S.W.T., mengikuti cara Nabi Muhammad S.A.W. serta meninggalkan dengan bersungguh-sungguh setiap larangan Allah S.W.T. sehingga terbit pada zahirnya.
Taiyuddin berharap, Insya Allah suasana yang lebih baik akan dapat kita nikmati dan pada waktu itu hanya mereka yang layak diperangi akan diperangi habis-habisan lillah fillah.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya kembali kepada Al-Qur’an dan Sunnah.
Ujarnya, nasihat baginda Rasulullah S.A.W. adalah nasihat yang terbaik. Maka, selagi kita berpegang teguh pada kedua-duanya, Insya Allah tidak akan tersesat selama-lamanya.
Taiyuddin yang juga merupakan seorang pengacara dan pengarah itu turut mengesa seluruh umat Islam di Malaysia agar teruskan menyebarkan salam sesama Muslim sebagai adab kesopanan dan kesusilaan yang wajar dijadikan sebagai rutin.
“Sebarkan kasih sayang ke seluruh alam, benci pada dosa dan kasihanilah pendosa,” kata pelakon yang pernah popular dengan tagline “apa celop toq” dalam filem Hantu Bonceng 2.0 dengan kutipan pecah panggung.
Menurutnya lagi, andai setelah mendakwahkan yang haq dan berkali-kali ditolak keras beserta ancaman, maka luruskanlah niat, mohonlah taufik dan hidayah dari Allah S.W.T. untuk tindakan yang terbaik bertepatan dengan perintah Allah S.W.T. serta Nabi Muhammad S.A.W.
Bercerita mengenai kariernya yang terbaru, Taiyuddin berkata, selain akan muncul dalam 14 Episod Sitkom ‘Kampung PE’EL’ yang ditayangkan di RTM1 beliau juga turut membintangi filem ‘Mat Kola’ arahan Hafiz Nafiah, terbitan AA Pictures Sdn. Bhd dan drama terbaru berjudul ‘Kawan Dan Cinta’ arahan Shahnas Putra, terbitan Pocket Play Sdn. Bhd.