Anak Pendakwah Terkenal Saudi Bongkar Situasi Penahanan Bapanya Lima Tahun Lalu
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
LONDON, 07 Oktober 2022 – Nasser al-Qarni, anak kepada pendakwah terkenal Arab Saudi telah membongkarkan situasi penahanan bapanya, Awad al-Qarni yang berlaku lima tahun lalu.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Twitter, beliau menceritakan secara terperinci peristiwa bagaimana kerajaan Arab Saudi menangkap bapanya di rumah mereka ketika itu.
من هم الذين داهموا منزلنا يوم الاعتقال؟
و كيف اقتحموا البيت على والدي وأهلي؟
عن ماذا كان يبحثون في داخل المنزل؟
أنا وأخي .. أين كنا؟!
هنا أروي لكم القصة كاملة لما حدث لوالدي الدكتور عوض القرني في تلك الليلة pic.twitter.com/FInKPzZa7P— ناصر بن عوض القرني (@NasserAwadQ) October 5, 2022
من هم الذين داهموا منزلنا يوم الاعتقال؟
و كيف اقتحموا البيت على والدي وأهلي؟
عن ماذا كان يبحثون في داخل المنزل؟
أنا وأخي .. أين كنا؟!
هنا أروي لكم القصة كاملة لما حدث لوالدي الدكتور عوض القرني في تلك الليلة pic.twitter.com/FInKPzZa7P— ناصر بن عوض القرني (@NasserAwadQ) October 5, 2022
Beliau berkata, sejurus selepas matahari terbenam pada 9 September 2017, dua kereta telah berhenti di luar rumah keluarganya. Individu-individu yang tidak dikenali itu bercakap melalui interkom dan mendakwa diri mereka sebagai tetamu dari luar kawasan.
“Sudah menjadi kebiasaan untuk ayahku menerima tetamu yang tak diduga,” ujar Nasser.
Sebaik sahaja bapanya membuka pintu rumah, mereka menerkam dan cuba memecah masuk ke dalam rumah dengan berpakaian awam. Namun begitu, Awad al-Qarni sempat menolak mereka keluar dan menutup kembali pintu rumah kerana memikirkan keberadaan keluarga dan kanak-kanak dalam rumah tersebut.
“Beberapa minit kemudian, kira-kira 30 kenderaan bersenjata lengkap, askar dan pasukan kecemasan tiba. Mereka menggeledah rumah dan merampas kesemua peranti elektronik, termasuk telefon dan permainan kanak-kanak serta telefon semua pekerja dalam rumah itu.”
“Mereka cuba menggari bapaku di hadapan anak-anaknya. Kanak-kanak diperiksa dan kemudiannya dikurung di dalam sebuah bilik kecil. Bunyi tangisan mereka menyakitkan semua yang berada di dalam rumah,” luah Nasser.
Lebih menyedihkan lagi, senapang telah diacukan ke arah ibu Nasser, adik-beradik dan semua orang di dalam rumah. Beliau, yang pada waktu itu baru sahaja tiba, terkejut melihat keadaan rumah yang disifatkan seperti ‘medan perang’ sebenar.
“Lebih 100 lelaki bersenjatakan mesingan dan pistol. Mereka mengepung rumah itu dan kami dihalang secara paksa daripada memasuki rumah kami.”
Ujarnya, selepas lebih tiga jam menunggu dengan hati yang membara, beliau akhirnya dibenarkan masuk ke dalam rumah yang huru-hara seperti diserbu oleh raksasa.
“Mereka menangkap bapaku secara paksa dan mengatakan bahawa dia akan kembali dalam masa dua hari. Di sini kita sekarang pada Oktober 2022 dan rumah kami masih merindui ayahku,” kata beliau mengakhiri rakaman tersebut.
Awad al-Qarni merupakan pendakwah terkemuka Arab Saudi yang mengajar di Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Arab Saudi dan Universiti King Khalid. Beliau ditahan pada 2017 bersama beberapa orang ulama, ahli akademik, wartawan dan aktivis termasuk Salman Al-Ouda dan Ali Al-Omari.
Anaknya, Nasser al-Qarni adalah seorang jurutera industri. Baru-baru ini, beliau berjaya melarikan diri dari kerajaan Teluk dan memohon suaka di United Kingdom selepas pegawai Saudi mengancamnya dengan hukuman penjara atau mati sekiranya beliau bercakap mengenai bapanya.