Anak-Anak Loh Siew Hong Masuk Islam Secara Sah – Mahkamah
KUALA LUMPUR, 12 Mei 2023 – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menolak semakan kehakiman Loh Siew Hong untuk membatalkan penukaran agama Islam secara sepihak ke atas tiga anaknya.
Menurut Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh, ketiga-tiga kanak-kanak itu telah memeluk Islam secara sah mengikut undang-undang Negeri Islam Perlis.
BACA JUGA: 6 Stesen LRT Laluan Ampang-Sri Petaling Akan Dibuka Semula Mulai Esok
BACA JUGA: Empangan Malaysia Hanya Mampu Bertahan Kurang 4 Bulan
Malah, afidavit pihak berkuasa Islam Negeri mengesahkan bahawa kanak-kanak itu mengucap kalimah syahadah pada tahun 2020.
Ujar beliau, selain itu, tiada bukti dikemuka di Mahkamah bahawa agama ketiga-tiga kanak-kanak itu sudah ditukar semula kepada agama Hindu.
Ibu tunggal itu juga sendiri tidak pernah menafikan tiga anaknya masih mengamalkan ajaran Islam seperti menunaikan solat, walaupun ketika berada dalam jagaannya.
“Jadi, walaupun sijil penukaran agama bukan bukti muktamad, memandangkan sifatnya yang unilateral, ‘kekuatan bukti’ akan menunjukkan bahawa ketiga-tiga anak itu terus menganut agama Islam,” katanya lagi sewaktu perbicaraan dalam talian semalam.
Laporan portal tempatan menyatakan, Hakim Wan Ahmad Farid turut memetik satu aspek dalam satu lagi kes penukaran agama secara unilateral, kes M. Indira Gandhi, yang melibatkan kebajikan kanak-kanak.
“Memandangkan semua keadaan kes itu, tiada bukti di hadapan saya bahawa ketiga-tiga kanak-kanak itu tidak gembira tinggal bersama pemohon. Oleh itu, kebajikan kanak-kanak, dalam maksud kes Indira Ghandi, menetapkan bahawa status quo harus kekal.”
“Atas sebab-sebab yang disebutkan di atas, permohonan untuk semakan kehakiman ini ditolak,” katanya.
Mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos kerana kes itu adalah soal kepentingan awam.
Samudera.my melaporkan, semakan kehakiman ini difailkan Loh Siew Hong pada 25 Mac 2022 dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, MAIPs, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin dan Kerajaan Negeri Perlis dinamakan sebagai responden pertama hingga keempat.
MAIPs, sebagai salah satu responden diwakili oleh peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, Zainul Rijal Abu Bakar, Aidil Khalid, Muhammad Hariz Yusoff dan Danial Farhan.
Manakala Kerajaan Negeri Perlis, Dato’ Mohd Asri Zainul Abidin dan Pejabat Pendaftar Mualaf Perlis diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Negeri, YB Tuan Mohd Radhi bin Abas, Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis.
Loh Siew Hong diwakili peguam A Srimurugan, Dr Shamsher Singh Thind, Gunamalar Joorindanjn dan Thian Yee Chin.