Amerika Syarikat Kecam Tindakan Pegawai Parti Pemerintah India Hina Nabi Muhammad
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
WASHINGTON, 18 Jun 2022: “Kami mengutuk kenyataan dibuat oleh pegawai Bharatiya Janata Party (BJP) dan kami lega parti terbabit mengutuk kenyataan dibuat pegawainya secara terbuka.”
“Kami sentiasa berurusan dengan kerajaan India di peringkat tertinggi berhubung hak asasi manusia termasuk kebebasan beragama atau kepercayaan dan kami menggalakkan India supaya menghormati hak asasi manusia.”
Kenyataan itu dikeluarkan jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Ned Price yang mengecam tindakan pegawai parti pemerintah India yang menghina Nabi Muhammad SAW sehingga membangkitkan kemarahan negara Islam dalam satu kenyataan yang dilaporkan Berita Harian.
Nupur Sharma, ahli politik BJP sebelum ini telah membuat kenyataan yang disiarkan secara langsung berhubung isteri Nabi Muhammad S.A.W. sehingga mengundang kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Kenyataan tersebut menyebabkan berlakunya protes diplomatik di Pakistan serta beberapa negara Arab yang sebelum ini mempunyai hubungan baik dengan India.
Penunjuk perasaan di Bangladesh pula telah menuntut Perdana Menteri, Sheikh Hasina yang merupakan sekutu rapat India, mengutuk tindakan tersebut.
Susulan dari tindakan Nupur Sharma itu, BJP mengambil keputusan menggantung keahlian Sharma dan seorang lagi pemimpin parti berkenaan, Naveen Kumar Jindal yang juga membuat ciapan menghina Nabi Muhammad S.A.W.
Samudera.my sebelum ini melaporkan penghinaan yang dilakukan India terhadap Nabi Muhammad S.A.W. seperti menghasilkan karikatur yang tidak menyenangkan umat Islam, kata-kata menghina dan pelbagai lagi komentar serupa.