NGO

Ambil Serius Keseimbangan Dan Kewarasan Kepimpinan Politik – NAJM

1. Dalam suasana perkembangan semasa politik negara dengan mengambilkira perkembangan pergerakan ekonomi di dalam serta di luar negara, pandemik Covid-19 dan juga kegiatan ketenteraan di beberapa kawasan sekitar dunia, eloklah para pentadbir dari kalangan pemimpin di peringkat eksekutif menghentikan sebarang pertelingkahan atau persengketaan di kalangan mereka atas apa punca sekalipun demi mencapai satu tahap ketenangan dalam mentadbir negara lantas memberi fokus tumpuan kepada membina negara dalam semua aspek kehidupan warganegara mengikut landas dan ketetapan empat sudut undang-undang Perlembagaan dan semua yang terkait dengannya, dan kelima-lima prinsip Rukun Negara menjadi teras yang dipraktikkan setiap hari di sepanjang masa para pemimpin ini memegang jawatan di kedua-dua Dewan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri dan jawatan-jawatan di dalam kabinet pusat mahupun negeri.

2. Semua orang dalam pelbagai lapisan masyarakat kita sedar dan mengikuti perkembangan berita-berita tentang pandemik Covid-19 setiap hari. Semua orang juga tahu yang kesan pandemik ini kepada cara hidup harian mereka sudah berubah, sama ada suka atau tidak, memang banyak cara hidup kita sudah berubah daripada cara bekerja, cara berniaga, cara menyambut perayaan besar dan perkahwinan, alam persekolahan dan alam pelajar di institusi pengajian tinggi sehinggalah kepada cara bagaimana dan bila kita boleh bergerak atau berjalan ke mana-mana semuanya sudah berubah tidak lagi seperti dulu semasa di tahun-tahun sebelum 2020.

3. Ada banyak kisah duka yang dipaparkan di dalam berita akibat daripada kesan pandemik Covid-19. Ada banyak juga kisah mencemaskan disiarkan berkenaan kebimbangan kesan ekonomi dan keupayaan kewangan isi rumah setiap keluarga dan penurunan taraf hidup akibat terganggu jaluran perdagangan dan perniagaan di banyak sektor ekonomi yang sudah berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang mana kegiatan ekonomi perdagangan dan pasaran bukan sahaja dipengaruhi oleh pandemik malah oleh prestasi politik tanah air.

4. Rata-rata rakyat kebanyakannya sedang mengalami sendiri dugaan hidup di samping memerhatikan kegiatan dan permainan yang dipamerkan oleh pemain politik yang tidak habis-habis menjurus kepada ‘survival’ politik dengan berita tentang beberapa orang wakil rakyat berpindah rumah ke parti lain, timbalan menteri tidak bekerja atau bercuti di luar negara untuk tempoh yang sangat lama, menteri yang terlibat dengan isu ‘model sementara’ dan pelbagai perkara yang timbul yang boleh dilihat sebagai masalah yang sengaja dibuat-buat seolah-olah menunjukkan pemimpin sedia ada sekarang tidak mampu bertindak dan berfikir secara waras dalam menguruskan amanah dan tanggungjawab mereka sebagai menteri atau wakil rakyat atau pemimpin masyarakat.

5. Tumpuan utama masyarakat umum adalah terhadap pemimpin Melayu Islam yang ada di dalam tiga parti besar iaitu UMNO, PAS dan Bersatu. Dua pakatan sudah dicipta dan diwujudkan iaitu Muafakat Nasional dan Pakatan Nasional. Sebahagian besar orang Melayu amat berharap akan berlaku satu sinergi positif di antara keduanya walaupun berlainan kelompok. Harapan besar kebanyakan orang Melayu ialah supaya parti besar orang Melayu khususnya UMNO dan PAS menjadi satu kelompok pemimpin politik yang gagah perkasa, berani kerana benar dan mengukuh serta melaksanakan undang-undang negara di dalam lingkungan empat sudut Perlembagaan Negara! Selain itu, orang Melayu juga berharap sangat agar perdana menteri yang ada sekarang mampu menjadi seorang negarawan yang boleh membawa ketenangan dan keseimbangan serta kewarasan di dalam kesepakatan politik dalam negara di dalam corak kepimpinannya. Kita bermohon agar semua pemimpin politik Melayu supaya ketepikan semua perbalahan lantas, mencari satu titik persamaan merentas sempadan kepartian masing-masing dan berjiwa besar untuk mengangkat martabat rakyat keseluruhannya menurut satu titik tolak kewarasan tertinggi. Kita menyeru kepada semua pemimpin politik tanah air supaya berfikiran matang dan waras dalam melaksanakan amanah kepolitikan mereka.

6. Kita berharap para pemimpin politik tanah air mampu dan boleh menunjukkan sikap dan keperibadian yang terbaik, paling ikhlas, paling bijaksana, paling waras; dan seterusnya bersama-sama berani mengorak langkah di atas satu landasan baharu yang terjalin di atas sumpah perjawatan mereka sebagai wakil rakyat dan sebagai perdana menteri, menteri atau menteri besar, ahli dewan undangan negeri atau exco.

7. Keseimbangan dan kewarasan kepimpinan politik buat masa ini sangat mustahak diberi perhatian serius dan segera kerana jika ia hanya diperlekehkan, kita bimbang protes politik menerusi saluran undi oleh kebanyakan rakyat (orang Melayu terutamanya) akan terjadi. Ianya boleh terjadi atas sebab ramai yang akan enggan keluar mengundi kelak. Lantaran itu, kita amat bimbang peristiwa 9 Mei 2018 akan berulang. Apakah perjudian ini mahu dibenarkan oleh pemimpin politik Melayu? Mahukah pemimpin Melayu menerima keputusan yang sama?

Puan Azlinda Baroni
Pengasas
Angkatan Kebangsaan Kesaksamaan Malaysia National Alliance For Justice Malaysia (NAJM)

*Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button