Ambang Ramadan, Pemuda Pas Pahang Desak Batal Konsert Kuantan
KUANTAN, 15 Januari 2024 – Pemuda PAS Pahang mendesak kerajaan negeri membatalkan penganjuran sebuah konsert di Kuantan yang bakal berlangsung 15 hari sebelum Ramadan bermula tahun ini.
Tegas Ketua Pemuda PAS Pahang, Mohd Zarimi bin Abu Zih dalam satu kenyataan, “Penganjuran ini jelas dengan tiada langsung sensitiviti kepada keadaan semasa juga di mana umat Islam di Palestin masih lagi diserang oleh puak zionis dan pakatan ahzab moden laknatullah.”
Tempelak beliau, “Kian hari kita semakin jauh dengan agama. Sesetengah pihak ingin mengajak masyarakat dengan hiburan tanpa peduli kepada nasib umat Islam yang sering ditekan, disekat berkuliah dan sebagainya? Cukup!!”
Mohd Zarimi turut mempersoalkan kewajaran pesta muzik itu dianjurkan pada 24 Februari 2024 bersamaan 14 Syaaban 1445H, sedangkan bulan-bulan berkah ini perlu diisi dengan memperbanyakkan ibadah.
Menurutnya, Pemuda PAS Pahang memandang serius akan hiburan melampau yang semakin membarah khususnya dalam negeri Pahang dan Malaysia amnya.
Justeru, mereka menggesa pembatalan pesta muzik Kuantan ini sebelum penganjuran benar-benar berlaku di saat hampirnya dengan Ramadan.