Tempatan

Amaran Hujan Berterusan Buruk Di Johor, Pahang Hingga Ahad Ini

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 12 Januari 2023 – Jabatan Meteorologi (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di beberapa lokaliti di Pahang dan Johor yang dijangka berlaku mulai hari ini sehingga Ahad.

METMalaysia dalam kenyataan pagi ini memaklumkan kedua-dua lokaliti itu membabitkan daerah Rompin di Pahang serta Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi di Johor.

Dalam masa yang sama, amaran hujan berterusan tahap waspada turut dikeluarkan bagi tempoh sama di kedua-dua negeri terbabit melibatkan daerah Pekan di Pahang dan daerah Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai serta Johor Bahru di Johor.

Tambahnya lagi, amaran hujan berterusan tahap waspada turut dikeluarkan hari ini di Sarawak yang meliputi beberapa lokaliti iaitu Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, dan Mukah.

Sementara itu, notifikasi aras air yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mencatatkan penurunan di beberapa negeri sehingga pagi tadi.

Di Pahang, tiga sungai mencatatkan aras air melebihi tahap bahaya iaitu di Sungai Pahang dan Sungai Pahang Tua di Pekan serta Sungai Keratong di Rompin.

Manakala Johor mencatatkan empat aras air melebihi tahap bahaya iaitu Sungai Kahang di Kluang, Sungai Tenglu Kecil di Mersing, serta Sungai Linggiu dan Sungai Kepala Orang di Kota Tinggi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: