Tempatan

Amalan Khitan Perempuan: Hormati Perbezaan Pandangan – Dr Nur Saadah

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

NILAI – “Sekiranya terdapat agamawan yang berpendapat bahawa amalan khitan bagi wanita adalah sia-sia, ianya lebih baik untuk menghormati perbezaan pandangan dalam hal ini. Apapun, keputusan dalam Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang melibatkan ramai ulama juga harus dihormati.”

Di atas merupakan jawapan daripada Dr Nur Saadah Khair, Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila diajukan persoalan mengenai adakah khitan ini satu amalan yang sia-sia.

Bagi Dr Saadah, khitan adalah amalan yang bersandarkan kepada agama dan mazhab Syafie mewajibkan amalan ini bagi lelaki dan wanita.

“Khitan merupakan amalan yang bersandarkan agama. Terdapat beberapa hadis yang boleh dirujuk bagi amalan khitan. Malah, beberapa mufti juga bersepakat bersetuju bahawa amalan khitan ini adalah sah dari sudut agama dan bagi mazhab Syafie, ia adalah wajib bagi lelaki dan juga wanita. Walaupun begitu, amalan berkhitan wanita di Malaysia tidak seharusnya dilarang walaupun terdapat ulama di luar Malaysia yang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai perkara ini.”

Walaubagaimanapun, menurut Dr Saadah, perempuan yang mempunyai masalah kesihatan dibenarkan untuk tidak berkhitan.

“Selaras dengan pandangan jumhur ulama, Muzakarah Fatwa Kebangsaan pada tahun 2009 telah bersetuju memutuskan bahawa hukum berkhitan bagi wanita adalah wajib tetapi boleh dielakkan bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan.”

Di samping itu, EXCO Kajian Islam dan Hadis WAFIQ itu menegaskan bahawa, khitan bukan Female Genital Mutilation (FGM) kerana khitan dan FGM membawa pengertian dan amalan yang berbeza.

Lebih-lebih lagi Islam juga menolak amalan FGM.

“Islam juga tidak bersetuju kepada amalan FGM kerana ia bertentangan dengan amalan berkhitan yang ditetapkan oleh syarak. Khitan bukan FGM. FGM juga bukan khitan. Dua istilah ini tidak boleh disamakan kerana membawa pengertian dan amalan yang berbeza.”

“Khitan bagi lelaki yang juga disebut sebagai al-I’zar, ia bermaksud pemotongan keseluruhan kulit yang menutupi hasyafah sehingga tersingkap seluruh hasyafah. Manakala, khitan bagi perempuan pula merujuk kepada pemotongan sebahagian kecil daripada kulit pada bahagian atas faraj. Khitan bagi wanita juga dikenali sebagai al-Khifadh.”

Mengakhiri kenyataan, Dr Saadah menyatakan bahawa amalan khitan sama sekali tidak melanggar hak asasi manusia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga tidak melarang khitan seperti yang diamalkan dalam Islam.

“Agama tidak melanggar hak asasi manusia tetapi memelihara hak manusia sejagat. Disebabkan itu, khitan dalam Islam adalah jauh berbeza dengan FGM yang boleh mendatangkan darurat. WHO juga melarang amalan FGM tetapi tidak melarang khitan yang diamalkan di dalam Islam.”

Pegawai Perubatan Umum, Dr Siti Nurhayati Adznan sebelum ini memberitahu, hanya klitoris tidak normal atau “ambiguous” sahaja yang tidak disarankan untuk dikhitan kerana anatominya tidak dapat dipastikan dengan tepat.

“Amalan khitan adalah keperluan sunnah. Kita laksanakan kerana hendak mengamalkan sunnah. Cuma, jika klitoris tidak normal atau “ambiguous”, kita sarankan untuk tidak dikhitankan kerana anatomi klitoris tidak dapat dikenalpasti dengan tepat.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: