Tempatan

Al-Quran Tidak Larang, Jom Kita Galak Guna Kontraseptif & Rancang Keluarga – Sisters In Islam

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 05 Oktober 2022 – Pengarah Eksekutif Sister In Islam (SIS), Rozana Isa mengeluarkan kenyataan berani dengan menggalakkan penggunaan kaedah pencegahan kehamilan yang dikenali sebagai ‘kontraseptif’ dan perancangan keluarga kerana beliau dapati, kitab suci al-Quran tidak menyebut dalam mana-mana ayat yang melarang umat Islam dalam melakukan perkara sedemikian.

“Tiada ayat dalam al Quran yang melarang perancangan keluarga, jadi al-Quran sebenarnya senyap. Dan senyapnya al-Quran dalam isu ini telah ditafsirkan oleh ramai ulama untuk bermaksud bahawa al-Quran tidak melarang perbuatan ini,” ujarnya dalam satu forum “Menangani Kehamilan Tidak Diinginkan Di Malaysia” anjuran Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial dengan sokongan syarikat penjagaan kesihatan Organon Malaysia, 20 Mei lalu.

Dalam pada itu, Rozana berpandangan bahawa, walaupun terdapat beberapa hadis yang meriwayatkan mengenai amalan ‘azal atau ejakulasi luar rahim, di mana kaedah perancangan keluarga yang diamalkan secara tradisional adalah tidak dilarang.

Dia turut memetik satu hadis yang menyatakan; “Kami pernah mengamalkan al-’azl pada zaman Nabi. Nabi mengetahuinya, tetapi tidak melarang kami melakukannya.”

“Jadi kami jelas. Islam tidak melarang perancangan keluarga dan penggunaan kontraseptif. Ia adalah fakta yang dibangunkan 25 tahun lalu oleh SIS melalui penyelidikan ini, jadi mari teruskan cara bagaimana kita boleh menggalakkan penggunaan kontraseptif dan perancangan keluarga.”

Bercakap dalam forum sama, Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said menyifatkan kehamilan tidak diingini sebagai “krisis berterusan senyap” dan menyatakan bahawa 14 daripada setiap 1,000 kanak-kanak perempuan yang mengandung di bawah umur 18 tahun dianggarkan berjumlah 18,000 kes. Dan, 4,500 daripadanya adalah di luar nikah dan sembilan bayi secara puratanya dilaporkan telah diabaikan pada setiap bulan.

Menurut pandangan Ketua Eksekutif Pusat Galen, Azrul Mohd Khalib, perancangan keluarga merupakan satu “pelaburan penting” dalam sistem penjagaan kesihatan Malaysia dan kehamilan yang tidak diingini bukanlah masalah terhadap remaja yang belum berkahwin atau wanita berpendapatan rendah sahaja, tetapi turut menjadi kebimbangan nasional yang merentasi semua segmen masyarakat.

Hadir sama dalam forum tersebut, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Maziah Che Yusoff menekankan kepentingan akses kepada kontraseptif dengan mengatakan bahawa kesihatan seksual dan reproduktif tidak seharusnya dilihat sebagai isu kontroversi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: