Al-Quran Berserta Terjemahan Cina Dilancarkan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SHAH ALAM, 26 April 2022 – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan Al-Quran dengan terjemahan Bahasa Cina di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, semalam.
Al-Quran yang telah mendapat kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Bahagian Kawalan Dan Penerbitan Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri itu merupakan hasil usahasama Yayasan Restu bersama Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), lapor Kosmo.
Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa berkata, usaha penerbitan Al-Quran dan terjemahan dalam Bahasa Cina itu bermula dengan pelancaran Juzuk Amma dan surah-surah pilihan serta terjemahannya dalam bahasa tersebut.
“Usaha tersebut dimasyhurkan sendiri oleh Sultan Sharafuddin pada 2016. Ini bererti proses penghasilan Mushaf Cina ini mengambil tempoh enam tahun.”
Kata beliau lagi, Al-Quran dan Terjemahan Bahasa Cina, lengkap 30 juzuk itu mempunyai lebih 2,000 nota kaki bagi memberi penjelasan dan huraian kepada maksud ayat.
“Penggunaan Bahasa Cina dalam mushaf ini mudah difahami.”
“Bagi memudahkan pembaca, setiap kalimah yang merujuk kepada Allah SWT menggunakan warna merah, manakala yang merujuk kepada Nabi Muhammad SAW menggunakan warna hijau.”
“Justeru, diharapkan naskhah ini boleh memberi daya tarikan untuk masyarakat Cina membaca, memahami serta mengamalkan ajaran Al-Quran selain mewujudkan kecintaan dan jati diri bangsa,” tambah Datuk Abdul Latiff.