Al-Quran 300 Tahun Dipulihkan, Makan Kos RM10,000
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
CHENOR, 19 September 2022 – Senaskhah al-Quran berusia 300 tahun bertulisan tangan berjaya dipulihkan menggunakan khidmat pakar tempatan dan menelan kos pemulihan dan pemuliharaan sebanyak RM10,000.
Naskhah itu adalah milik ulama Pak Minhat dan merupakan koleksi Galeri Ulama Awliya Madrasah Raudhah AlMuhibbin, Chenor. Proses pemulihan dan pemuliharaan al-Quran Pak Minhat memakan masa selama tiga bulan dan dilakukan secara manual oleh sukarelawan iaitu Profesor Dr Mohd. Fauzi Abd. Latif.
“Helaian al-Quran ini yang siap dijilid dan dibaik pulih boleh digunakan semula mengikut tempoh 50 tahun hingga 100 tahun akan datang,” ujar mudir madrasah, Barkatullah Mohd. Bahari, lapor akhbar tempatan.
Selain naskhah al-Quran berusia 300 tahun itu, madrasah berkenaan turut menyimpan beberapa artifak peninggalan pahlawan dan ulama Terengganu seperti tempat letak serban dan tasbih milik Saiyid Abdul Rahman Saiyid Muhammad Al-Idrus atau Tok Ku Paloh serta rotan gelung Abdul Rahman Limbong.
“Tempat letak serban itu dihadiahkan kepada seorang muridnya dikenali Abdul Majid yang berasal dari Chenor,” kata Barkatullah.
Galeri itu juga memaparkan kendi tempat wuduk Waliyullah Tun Cik Leh, tempat hidangan makanan Tokku Syed Saqqaf, kitab karangan wali Allah Tuan Tabal serta al-Quran bertulisan tangan berusia 200 tahun milik ulama yang dikenali sebagai Lebai Din.
Turut menjadi koleksi di madrasah tersebut ialah artifak kebudayaan Melayu Pahang silam seperti tanjak, pakaian diraja dan senjata kerana Chenor mempunyai hubungan dengan sejarah pahlawan Melayu.
Beliau mengatakan bahawa galeri tersebut mempunyai keunikannya tersendiri apabila pelbagai khazanah dan artifak ulama silam Pahang, Terengganu dan Acheh disimpan di situ. Mereka juga giat memelihara dan memulihara makam ulama awliya terkenal di sepanjang Sungai Pahang termasuk ulama sekitar daerah Chenor.