Antarabangsa

Al-Azhar, OIC Kutuk Kebiadapan Zionis Koyak & Bakar Al-Quran

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini. 

KAHERAH, 14 Oktober 2022 – Beberapa badan terkemuka Islam termasuk Al-Azhar Al-Sharif dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk keras pencabulan dan kebiadapan pendatang Zionis yang telah mengoyak serta membakar kitab suci umat Islam, al-Quranul Karim.

Lapor agensi berita Arab, penghinaan yang berlaku di selatan Tebing Barat itu telah mencetuskan kemarahan rakyat Palestin dan Arab.

Al-Azhar mengecam ‘pengganas melampau dari entiti Zionis’ sekali gus mengatakan bahawa ia menunjukkan kebiadapan, keganasan dan perkauman Zionis yang penuh kebencian di tengah-tengah masyarakat antarabangsa yang berdiam diri dan gagal memainkan peranan untuk menjaga kesucian kitab tersebut.

Mereka turut menegaskan bahawa al-Quran akan kekal terpelihara sebagai kitab panduan untuk manusia mendekati nilai-nilai kebaikan, kebenaran dan keindahan. Kesucian al-Quran juga tidak akan dipertikaikan oleh tindakan individu yang menggalakkan sikap kebencian, tidak bertoleransi dan mereka yang tangannya dilumuri darah rakyat Palestin yang tidak bersalah, ujar Al-Azhar.

Selain itu, Majlis Penatua Muslim (Muslim Council of Elders) yang diketuai oleh Imam Besar Mesir, Ahmed Al-Tayyeb berkata, tingkah laku kesat itu menjejaskan usaha keamanan, keselamatan, kestabilan masyarakat serta nilai-nilai kemanusiaan. Mereka menggesa agar langkah berkesan dilaksanakan bagi mencegah serangan terhadap kepercayaan agama.

Sementara itu, OIC pula menyifatkan tindakan itu sebagai sebuah provokasi, sambil menambah ia adalah serangan terhadap kepercayaan agama umat Islam, melanggar nilai dan prinsip hak asasi manusia dan dalam masa yang sama menggalakkan lagi sikap ekstremisme serta keganasan di seluruh dunia.

OIC turut menekankan kepentingan untuk menganggap sikap dan perbuatan yang tidak menghormati simbol agama sebagai suatu jenayah.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: