Tempatan

Al-Aqsa Berdarah: Malaysia Perlu Desak Negara Islam Main Peranan – YADIM

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUANTAN, 10 Mei 2021 – Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasruddin Hassan menggesa kerajaan Malaysia untuk mendesak semua negara Islam di sempadan Palestin membantu rakyat di negara itu.

“Malaysia melalui Wisma Putra perlu memainkan peranan mendesak OIC, Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) dan negara sempadan Palestin supaya membantu negara itu dengan apa cara sekalipun. Ini kerana ia adalah isu kemanusiaan, pelanggaran hak dan pencabulan tanah air bukan isu berkaitan dengan agama.”

“Jadi, semua pihak kena mengambil tindakan atas semua isu itu bukan mengambil tindakan ‘diam’ sehingga menyebabkan Palestin terus menerus menerima serangan daripada Israel,” ujar beliau.

Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris juga menggesa perkara yang sama.

Menurut beliau, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Kesatuan Parlimen Negara-Negara Anggota OIC (PUOIC) perlu menekan Israel bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Palestin.

“Keamanan perlu dikembalikan kepada rakyat Palestin yang menetap di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmuqaddis yang dilihat dipaksa berpindah sebagai bentuk pengusiran dan pembersihan etnik terancang.”

“Kerajaan Malaysia menerusi OIC dan PUOIC mempunyai tanggungjawab untuk bersuara tegas secara kolektif untuk menggesa dan bertindak bagi memberi tekanan terhadap negara haram Israel serta mengelak memungkinkan dasar ‘apartheid’ kembali semula di bumi Palestin,” tegas beliau lagi.

Jumaat lalu, Al-Aqsa berdarah kembali setelah polis Israel bertindak menyerang rakyat Palestin dengan bom tangan ketika mereka sedang menunaikan solat tarawih di Masjid Al-Aqsa.

Ketegangan meningkat setelah puluhan ribu rakyat Palestin memprotes tindakan Israel mengusir keluar penduduk Palestin dari rumah mereka dan mewujudkan penempatan haram baharu Israel.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button