Tempatan

Aktiviti Sugar Baby & Sugar Daddy: Tahniah Kepada Pertubuhan Pelajar Yang Lantang Bersuara

KUALA LUMPUR – “Tahniah kepada pertubuhan-pertubuhan pelajar dari seluruh negara, khususnya Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA) serta Majlis Perwakilan Pelajar dan Persatuan Mahasiswa dari USM, USIM, UIAM, UPM, UTHM, UNIMAP, KUIS, UKM, UM dan UiTM dengan dukungan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) kerana lantang bersuara mendesak siasatan dilakukan terhadap dakwaan Sugarbook bahawa ramai pelajar IPT yang terlibat dengan sugar baby.”

Demikian pujian Dr Kamarul Zaman Yusoff kepada pertubuhan-pertubuhan pelajar di atas seperti dalam Facebooknya.

“Semoga pihak berkuasa akan mendengar suara mereka dan mengambil tindakan sewajarnya,” ujarnya dengan penuh harapan.

Menurut penganalisis politik itu, berikut adalah antara petikan kenyataan media mereka:

“Kami mendesak pihak berwajib seperti Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk melakukan siasatan terhadap dakwaan ranking dan bilangan pelajar IPT (yang terlibat dengan sugar baby) yang dikeluarkan oleh pihak Sugarbook. Sekiranya data yang dikeluarkan adalah tidak benar dan hanya semata-mata ulah mereka, pihak mereka sewajarnya dikenakan tindakan atas penipuan yang dilakukan.”

“Sekiranya maklumat yang diuar-uarkan di media sosial (mengenai ramai pelajar IPT yang terlibat dengan sugar baby) adalah benar, maka pelajar-pelajar yang terlibat khususnya Muslim perlu dikesan dan dibimbing ke pangkal jalan dan tindakan mengharamkan aplikasi atau laman sesawang yang menjadi sarang maksiat itu adalah langkah pencegahan yang terbaik.”

“Tahniah kepada semua pihak yang komited dalam membendung kemungkaran terbuka ini,” kata Dr Kamarul yang juga merupakan Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) mengakhiri kata.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button