Tempatan

Aktiviti Lombong Pasir, Jejaskan Pulau Peranginan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

YAN, 28 Ogos 2022 – Aktiviti pelombongan pasir berhampiran Pulau Bidan, Pulau Songsong, Pulau Telor dan Pulau Dayang Bunting di daerah Yan telah menjejaskan kira-kira 1,000 nelayan dan pengusaha bot di kawasan itu.

Menurut seorang pengusaha pelancongan, Yani Yunus, 47, beliau mendedahkan aktiviti menyedut pasir itu giat dilakukan di waktu malam.

“Kami pernah mengekori bot yang menyedut pasir ini hingga 15 batu nautika dan mereka dipercayai berada di Pulau Bidan sejak Sabtu lalu dan baru bergerak keluar Rabu lalu.”

“Jika keadaan air dan pantai di pulau ini sudah tidak cantik, kami akan kehilangan sumber mata pencarian. Perairan dan struktur empat pulau di sini juga dikesan semakin rosak.”

Katanya, pokok di kawasan pantai juga banyak yang telah musnah dan menyukarkan mereka untuk mendaratkan bot pelancong kerana sekarang dipenuhi batu dan berlumpur.

Selain itu, nelayan, Jamil Ali, 55, berkata, aktiviti menyedut pasir di kawasan berhampiran pulau itu menyebabkan kawasan pantai yang dahulunya dipenuhi pasir kini disaluti lumpur.

“Jika keadaan ini dibiarkan, tidak mustahil kami akan kehilangan punca pendapatan kerana terpaksa mengeluarkan modal tambahan membeli petrol untuk menangkap ikan di kawasan lain yang lebih jauh.”

Menurutnya, aktiviti itu menjejaskan habitat dan kehidupan marin, selain memberi kesan kepada kualiti ikan dan hasil laut lain.

Kekhuatiran yang sama turut dilalui oleh nelayan, Mohd Shukri Said, 49 yang mendakwa empat pulau itu sebelum ini diwartakan sebagai pulau pelancongan.

“Kami tidak tahu status pengambilan pasir di kawasan ini sah atau tidak, namun pergilah sedut pasir di kawasan yang jauh dari pulau. Kami sangat bimbang pencemaran berlaku dan menjejaskan ekosistem di sini,” katanya.

Dalam pada itu, nelayan di jeti Sungai Udang, Amir Jaafar, 44, berkata, kegiatan melombong pasir menggunakan kapal korek dan beberapa tongkang mula dikesan pada Sabtu minggu lalu.

“Hasil pendaratan ikan nelayan di sini agak berkurangan sejak akhir-akhir ini, ia menjejaskan pendapatan kami sebagai nelayan pantai.”

“Sejak turun-temurun nelayan mencari makan di kawasan pulau ini, jika dibiarkan berterusan, bagaimana kami mahu tanggung keluarga dan anak-anak yang masih belajar?” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Yan, Mohamad Subhi Abdullah, memaklumkan, pihaknya akan membuat siasatan dengan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTGP) untuk mengetahui status sebenar aktiviti itu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Rata-rata nelayan dan pengusaha pelancongan menggesa Kerajaan untuk memantau dan mengambil tindakan demi kelangsungan hidup komuniti nelayan dan pengusaha pelancongan di sini.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: