Aktivis Keamanan Rachel Corrie Maut Di Tangan Negara Haram Aparteid Israel Diingati
PALESTIN, 19 Mac 2023 – 20 tahun berlalu setelah aktivis keamanan Amerika Syarikat (AS), Rachel Corrie mati dibunuh oleh tentera rejim haram aparteid Israel di selatan Gaza sewaktu beliau sedang berusaha untuk melindungi kediaman warga Palestin daripada dirobohkan dan kini beliau terus dikenang.
Pada 16 Mac 2023, dua tahun sebelum rejim haram aparteid Israel berundur daripada Gaza, Corrie telah bertindak menjadikan tubuhnya sebagai perisai dengan harapan untuk menghentikan sebuah jentolak yang dikendalikan oleh tentera Zionis dari merobohkan sebuah rumah di kem pelarian Rafah.
BACA JUGA: SPRM Siasat Lima Bank Utama Jadi Transit Wang Haram
BACA JUGA: Pengarah & Pelakon ‘Mentega Terbang’ Terima Ugutan Bunuh, Polis Sedang Siasat
BACA JUGA: Ziarah Rumah Ibadat Bukan Islam Bercanggah Dengan Enakmen Ugama Bukan Islam 1988 – MAIS
Tentera rejim haram aparteid Israel yang mengendalikan jentera seberat 60 tan itu terus merempuh Corrie sewaktu beliau sedang berbaring dan menggeleknya sehingga mati.
Salah seorang saksi kejadian, aktivis AS Greg Schnabel menceritakan kepada media bahawa Rachel sedang memakai jaket cerah berwarna oren dan sangat jelas dilihat oleh pengendali jentolak tersebut serta beberapa orang tentera Zionis yang berada berdekatan.
Corrie telah disahkan maut setelah 20 minit jentolak tersebut berundur dan kematiannya telah disahkan berikutan tekanan di bahagian dada serta patah di bahagian rusuk, tulang belakang serta tulang belikat bersama dengan koyakan pada paru-paru kanan yang menyebabkan pendarahan teruk.
Rejim haram aparteid Israel telah menafikan bahawa pihak mereka bertanggungjawab atas kejadian tersebut dan mendakwa bahawa ianya adalah sebuah kemalangan serta menuduh Corrie dan beberapa aktivis lain dengan tuduhan melakukan kegiatan haram.
Ibu bapa Corrie, Cindy dan Craig Corrie sejak itu terus menerus berusaha untuk menyeret pihak yang bertanggungjawab bagi kematian anak mereka. Mereka telah bertindak menyaman tentera Zionis serta Kementerian Pertahanan Israel pada tahun 2010.
Keputusan kehakiman pada 2012 yang diumumkan oleh mahkamah daerah Israel telah menyatakan bahawa Rachel ketika itu sedang berada di zon peperangan dan perkara tersebut telah menjadikan pihak rejim haram aparteid Israel terlepas daripada kesalahan membunuh itu.