Akta SUHAKAM: Perlu HAM Dari Acuan Perlembagaan Malaysia Bukan HAM Barat – Lukman Sheriff
KUALA LUMPUR, 20 Jun 2023 – “Sebenarnya, Akta SUHAKAM jelas menyatakan konsep Hak Asasi Manusia (HAM) yang boleh dibawa oleh SUHAKAM hanyalah kebebasan asasi dalam Perlembagaan Malaysia dan bukan HAM barat semata-mata,” jelas Pengerusi Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA), Lukman Sheriff.
Menurutnya, Seksyen 4 jelas menyatakan Pengisytiharan Sejagat HAM di peringkat antarabangsa hanya boleh dipakai selagimana tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan inilah acuan HAM kita yang SUHAKAM kini mahu bawa namun ditentang oleh pihak liberal.
Maka, tak hairanlah jika sejak dari dahulu lagi pihak liberal ini berjaya mempengaruhi atau menguasai SUHAKAM dengan berusaha mengelirukan banyak pihak.
Gerakan Liberal Berusaha Jatuhkan Pengerusi SUHAKAM
Kini, apabila Pengerusi dan kemudiannya kebanyakan Pesuruhjaya SUHAKAM bukan dari kumpulan atau cadangan mereka, maka mereka telah memulakan satu gerakan untuk menjatuhkan SUHAKAM.
Jelasnya, setakat ini ada dua insiden yang membimbangkan serta menakutkan atau membuat golongan liberal ini marah.
“Satu, apabila dari awal lagi Pengerusi hendak membawa hak asasi manusia (HAM) acuan tempatan berasaskan Perlembagaan Malaysia.”
Maka, mereka tentang kerana perkara ini bertentangan langsung dengan ideologi mereka yang mahukan kita menerima totok ideologi dan nilai budaya HAM barat. Pada mereka HAM ini universal dan semua termasuk undang-undang kita mesti akur.
Sebab itu, mereka pandang enteng Perlembagaan kita dan ini jelas ketika mereka mahu meratifikasikan ICERD tanpa menghiraukan Perlembagaan negara.
Malah, sesetengah mereka menganggap Perlembagaan kita sebagai rasis kerana ia diskriminator kepada ideologi mereka.
Lukman menegaskan, sebenarnya perkara ini sangat keterlaluan dan sikap melampau golongan ini sebagai rakyat Malaysia yang dengan jelas tidak menghormati Perlembagaan negara kita.
Tambah beliau, kemudian insiden kedua adalah geran European Union (EU). Selama bertahun-tahun SUHAKAM menerima geran EU yang bernilai berjuta-juta. Dari geran ini, mereka (golongan liberal) ini mendapat banyak manfaat. Sebab itu, mereka mahu geran ini dikawal oleh orang yang mereka mahu.
Bagaimanapun, apabila tahun ini ia bakal dikawal bukan dari kalangan orang yang mereka mahu, maka mereka cukup tidak senang dan melenting kemudian atas motivasi ini jugalah mereka mewujudkan pelbagai tuduhan.
Menurut Lukman Sheriff, pertamanya, mereka menuduh SUHAKAM tidak menjalankan libat urus dengan NGO HAM seperti yang dinyatakan oleh Teresa Kok.
“Pada MACSA ini jelas tidak betul. Sebelum ini SUHAKAM kebanyakannya melibatkan NGO-NGO liberal. Mereka tidak inklusif seolah-olah HAM ini milik mereka,” ujarnya.
Tetapi kini, SUHAKAM lebih terbuka. MACSA sendiri telah terlibat dalam beberapa perjumpaan dan libat urus termasuk bengkel proses UPR yang dikendalikan oleh EU.
Malah, baru-baru ini MACSA, SUHAKAM dan UIA telah berjaya mengendalikan seminar bersama “universalisme dan cultural relativisme”. Sama juga dengan “watching brief”.
Sebaliknya, jika dahulu hanya peguam sebelah sana saja yang dijemput. Kini ada peguam MACSA terlibat dengan watching brief SUHAKAM. Pada MACSA, ini pun masih cuma sedikit dan mengharapkan SUHAKAM memberikan ruang yang lebih lagi sepertimana NGO-NGO lain.
“Kedua, golongan ini turut menuduh Pengerusi melakukan rasisme. Kita mahu tahu apa yang dilakukan beliau (Pengerusi) yang dikatakan rasis. Ada asas atau tidak. Rasis ini subjektif dan telah banyak kali disalahgunakan. Sekenal saya beliau (Pengerusi) bukan rasis. Jadi kita mahu tahu!”
Beliau turut mencadangkan satu siasatan telus bebas dan adil patut dilakukan untuk menentukan tuduhan yang dilemparkan.
“Kalau tak betul, hak saman malu adalah hak peribadi seseorang,” katanya.
Jelas, pihak liberal dari awal tidak puas hati dengan SUHAKAM dan pelbagai gerakan licik dilakukan dan kenyataan dikeluarkan untuk mempengaruhi rakyat dan Kerajaan demi menjatuhkan kredibiliti dan reputasi Pengerusi sekarang dan SUHAKAM.
Justeru, gerakan yang berkepentingan ideologi dan wang yang bercita-cita untuk menjatuhkan sesiapa sahaja terutama mereka yang tidak bersetuju dengan golongan liberal ini patut diberhentikan dengan segera oleh pihak yang bertanggungjawab.
“Usaha ini amat wajar dilaksanakan dengan tegas agar institusi seperti SUHAKAM dapat menjalankan peranannya selaras dengan undang-undang yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia bukannya mengikut acuan barat yang dibangga-banggakan dan cuba dipromosikan oleh golongan liberal ini,” tegasnya.