Tempatan

Masjid, Surau Selangor Perlu Sedia Penyata Kewangan Tahunan Beraudit – Sultan Selangor

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SELANGOR, 08 Disember 2023 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menitah pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk memastikan semua masjid dan surau menyediakan Penyata Kewangan Tahunan Beraudit untuk diperiksa dan disemak.

“Beta berkenan melancarkan Buku Garis Panduan Pengurusan Kewangan, Perolehan Dan Aset Masjid Dan Surau Negeri Selangor Tahun 2023 yang telah diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Beta mendapati, Garis Panduan ini sangat bersesuaian dengan keperluan semasa dan disusun dengan beberapa penambahbaikan bagi meningkatkan tahap tatakelola dan tadbir urus yang cekap,” titah Baginda dalam satu kenyataan di Facebook rasmi Selangor Royal Office.

Dalam titah, Baginda menzahirkan harapan agar pentadbir masjid dan surau dapat mematuhi dan melaksanakan semua ketetapan yang telah digariskan di dalam Garis Panduan tersebut sambil menekankan bahawa pentadbir masjid dan surau yang tidak mengambil berat terhadap pengurusan kewangan, perolehan dan pengurusan aset akan menyebabkan masyarakat kurang yakin tentang kredibiliti dan integriti pentadbiran mereka.

Malah, pengurusan perolehan juga perlu diurus dengan tatakelola yang betul agar tidak melibatkan ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa, titah Baginda lagi.

“Bagi memastikan ketetapan di dalam Garis Panduan ini dapat difahami oleh semua pentadbir masjid dan surau, Beta berharap MAIS dan JAIS dapat melaksanakan program latihan yang intensif dan berterusan dengan menerapkan kaedah latihan yang bersesuaian dengan latar belakang pentadbir. Beta yakin, masjid dan surau yang mempunyai sistem pengurusan kewangan yang baik akan lebih diyakini dan akan terus mendapat kepercayaan masyarakat untuk terus memberi sumbangan dan infaq mereka.”

“Beta berharap agar Buku Garis Panduan ini juga akan menjadi rujukan penting untuk meningkatkan kualiti pengurusan kewangan bagi mengangkat integriti dan kemuliaan masjid dan surau sebagai institusi masyarakat yang dihormati melalui amalan tatakelola yang kemas dan teratur,” titah Baginda.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: