Tempatan

Akhirnya Rakyat Malaysia Dari Ukraine Selamat Pulang Hari Ini

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 28 Februari 2022 – Proses Evakuasi Warganegara Malaysia Dari Ukraine telah berjaya dilaksanakan pada 26 Februari lalu selepas kumpulan terakhir selamat dibawa keluar dari Ukraine dan dijangka tiba ke tanah air hari ini.

“Kumpulan terakhir yang dibawa keluar dari Ukraine dijadual berlepas dari Warsaw ke Malaysia pada 28 Februari dengan penerbangan komersil.”

Menurut kenyataan Wisma Putra, kumpulan ini meninggalkan Kyiv melalui jalan darat pada petang 25 Februari dan memasuki Poland pada malam 26 Februari 2022.

Misi mengeluarkan kumpulan terakhir oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv melibatkan tujuh warganegara dan dua warga asing tanggungan kepada dua warganegara Malaysia. Kedutaan tersebut turut membantu membawa keluar seorang warganegara Singapura.

Ketibaan kumpulan terakhir tersebut di sempadan Poland dibantu dua pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Warsaw.

Kenyataan tersebut memaklumkan, misi evakuasi tersebut dilaksanakan oleh dua orang pegawai kedutaan iaitu Kuasa Usaha Sementara Cik Fadhilah Daud dan Setiausaha Kedua, Encik Aminuddin Osman.

Pada 14 Februari lalu, Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah menggesa semua rakyat Malaysia yang berada di Ukraine segera menghubungi Kedutaan Malaysia untuk membuat pendaftaran bagi memudahkan pemantauan perkembangan keselamatan mereka.

Ini berikutan ancaman serangan lebih daripada seratus ribu tentera Rusia ke atas Ukraine pada hari Rabu, 16 Februari 2022 menurut pengumuman Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.

Leave a Reply

Back to top button