Akhirnya Kejayaan Besar, Kuil Ladang Kirby Kekal
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SEREMBAN, 03 Mac 2022 – “Pekerja Ladang Kirby setelah 22 tahun enggan keluar dari estet dan melawan – protes depan Sime Darby, Pejabat MB, puluhan aduan polis dan Suhakam. Akhirnya kejayaan besar. Menang rumah harga khas RM36k, kuil kekal. Satu kejayaan besar rakyat pekerja ladang bersama PSM. #KuasaRakyat” ujar Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan dalam ciapannya di Twitter Isnin lalu.
S. Arutchelvan melalui penulisannya di Sosialis.net mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sembilan, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Harun dan Ahli Exco Kerajaan Negeri Sembilan Arul Kumar setelah berjaya menyelesaikan kemelut 22 tahun mereka termasuk isu penempatan semula kuil.
Pekerja-pekerja Ladang Kirby yang sebelum ini diberhentikan kerja dan mengalami masalah perumahan bagaimanapun enggan keluar dari estet itu dan melakukan protes di hadapan pejabat Sime Darby dan Pejabat Kerajaan Negeri Sembilan.
Beliau menyatakan bahawa penduduk Ladang Kirby telah berusaha untuk mendapatkan hak pekerja ladang ini sejak dua dekad lalu.
Jawatankuasa Bertindak Ladang Kirby/Carotina (JBPLK/C) sebelum ini mengemukakan beberapa tuntutan terhadap pihak pengurusan Sime Darby Sdn. Bhd antaranya rumah ganti kepada setiap keluarga atau tanah ganti di Kawasan Ladang Kirby/Carotina serta wang pampasan RM1,000.
Selain itu, mereka menuntut agar dapat terus mendiami rumah kuarters ladang yang dilengkapi dengan kemudahan utiliti sehingga perumahan baharu dibina. Mereka juga menuntut agar kuil mereka kekal di tempat yang sama.
Penduduk Ladang Kirby turut mengecam apabila laluan masuk ke kuil mereka ditutup dan melabelkannya seperti satu tindakan yang zalim dan disengajakan. Malah, mereka mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan akan perkara tersebut.
Tambahan lagi, mereka mendakwa bahawa tindakan itu seolah-olah mahu menimbulkan ketegangan agama kerana kaum Hindu disekat untuk pergi sembahyang apabila terowong untuk memasuki kuil itu ditutup menggunakan batu, pasir dan hording. Batu-batu juga diletakkan bagi memagar pintu hadapan kuil.
Terdahulu, satu ekar tanah telah diwartakan sebagai tanah rumah ibadat Hindu untuk digunakan bagi mengekalkan kuil sedia ada. Bukan itu sahaja, sebuah lagi kuil akan ditempatkan di atas tanah itu.
Baru-baru ini, penduduk Ladang Kirby ‘meraikan’ kemenangan apabila kuil mereka kekal di ladang tersebut dan rumah yang bakal mereka duduki dibina di atas kawasan yang mereka diami sekarang.