Tempatan

Akhirnya, Filipina Kini Terima Sijil Vaksinasi Malaysia

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 18 Februari 2022 – Menurut Kementerian Luar Negeri (KLN), kerajaan Malaysia dan Filipina kini mencapai kata sepakat untuk saling menerima dan mengiktiraf sijil vaksinasi COVID-19 secara timbal balas.

Keputusan ini disepakati kedua-dua pihak pada Isnin 14 Februari 2022.

Kementerian itu berkata, pengembara dari Malaysia kini dibenarkan memasuki Filipina dengan sijil vaksinasi MySejahtera yang lengkap manakala pengembara dari Filipina dibenarkan memasuki Malaysia dengan bukti sijil vaksinasi lengkap dalam aplikasi sijil vaksinasi VaxcertPH.

Walau bagaimanapun, kemasukan pengembara masih tertakluk kepada prosedur kuarantin semasa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa di negara masing-masing.

“Persetujuan tersebut telah membolehkan Kedutaan Besar Malaysia di Manila membantu tujuh rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila pada 13 Februari 2022 untuk memasuki negara tersebut atas tujuan rasmi dan perniagaan,” katanya.

Pada dasarnya, Kerajaan Malaysia mengiktiraf pengembara yang telah lengkap menerima vaksin yang diluluskan di bawah Senarai Kegunaan Kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atau diluluskan oleh pihak berkuasa negara-negara tertentu. Walaupun begitu, pengiktirafan sijil vaksinasi MySejahtera masih tertakluk kepada keputusan kerajaan negeri lain, ujar KLN.

Kedua-dua negara ini juga bersepakat untuk meneruskan kerjasama ke arah verifikasi ketulenan sijil vaksinasi COVID-19 secara dalam talian dalam sistem yang lebih selamat dan terjamin. Ini akan memudahkan laluan kemasukan pengembara yang telah lengkap divaksinasi.

Isnin lalu, pihak Imigresen Filipina menghalang 15 pelancong dari Malaysia memasuki negara itu berikutan sijil vaksinasi digital dalam aplikasi MySejahtera tidak diterima sebagai bukti vaksinasi.

Pihak imigresen Filipina memaklumkan bahawa mereka perlu divaksin di negara lain seperti Singapura atau memiliki Sijil Vaksinasi Antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jika tidak, akses tidak akan diberikan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: