“Ajaran Wahabi Pintu Masuknya Terorisme”, Nahdlatul Ulama Cadang Kuat Kuasa Larangan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
JAKARTA, 30 Oktober 2022 – Lembaga Dakwah Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (PBNU) mencadangkan agar larangan penyebaran ajaran wahabi dikuat kuasa kerana ajaran itu didakwa menjadi benih kepada kemunculan fahaman radikalisme, ekstremisme dan terorisme, lapor sebuah agensi berita Indonesia baru-baru ini.
Menurut laporan itu, LD PBNU menyarankan agar pemerintah mewujudkan larangan penyebaran ajaran itu sama ada menerusi majlis taklim, media maya mahupun media sosial di Indonesia.
“Lembaga Dakwah PBNU menyarankan kepada Pemerintah (Kementerian Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan (KEMENKO POLHUKAM); Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia (KEMENKUMHAM); Kementerian Dalam Negeri Republik Indonesia (KEMENDAGRI); dan Kementerian Agama Republik Indonesia (KEMENAG)) untuk membuat dan menetapkan peraturan yang melarang penyebaran ajaran wahabiyah,” menurut saranan oleh pihak LD PBNU menerusi laman rasminya pada 27 Oktober lalu.
Fahaman wahabi merujuk kepada pemikiran Islam yang ditujukan kepada pengikut Muhammad bin Abdul Wahab yang berpegang teguh kepada pemurnian atau pemulihan Islam ke bentuk asli sesuai teks al-Quran dan Hadis.
Pihak LD PBNU melihat kelompok yang mengikuti fahaman wahabi ini kerap menunjukkan bid’ah hingga mengkafirkan tradisi keagamaan yang dilakukan majoriti umat Islam di Indonesia.
“Jika hal tersebut dibiarkan, ia dikhuatiri menimbulkan perselisihan sosial, saling memfitnah yang akan mengakibatkan perpecahan, konflik sosial, munculnya kelompok yang menolak Pancasila dan Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI), serta potensi kepada berlakunya kekerasan dan terorisme,” menurut saranan itu lagi.
Bukan itu sahaja, pihak LD PBNU juga melihat masih banyak kajian keislaman dan aktiviti keagamaan di pengurusan masjid yang mengangkat penceramah berfahaman wahabi-salafi.
Difahamkan, kehadiran fahaman wahabi ini telah mendapat perhatian daripada banyak pihak di Indonesia.
Antaranya, Mantan Ketua Umum PBNU, Said Aqil Siraj yang menilai bahawa ajaran wahabi ini merupakan pintu masuk kepada terorisme di Indonesia. Beliau turut mengakui bahawa biarpun ajaran tersebut tidak mengajar tentang terorisme dan kekerasan, namun fahaman itu selalu beranggapan bahawa orang yang berbeza pandangan sebagai kafir meskipun sesama Muslim.
Selain itu, Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan (MENKO POLHUKAM), Mahfud MD, turut menilai bahawa fahaman wahabi tidak sesuai dengan ajaran Islam yang ada di Indonesia.