Tempatan

Ajaran Si Hulk Difatwakan Sebagai Sesat – Mufti Johor

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

JOHOR BAHRU, 31 Mei 2021- Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan fahaman dan ajaran yang diasaskan dan dibawa oleh Suhaini Bin Mohammad atau Suhai Ibni Mohammad atau Si Hulk atau apa jua nama atau gelaran yang dikaitkan dengannya adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam.

“Antara fahaman dan ajaran Suhaini Bin Mohammad yang bertentangan dengan akidah, syariah dan Islam ialah mendakwa Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan. Ia terdapat dalam petikan kata-kata Suhaini dalam YouTube bertajuk : Sesat Atau Benar bertarikh 4 April 2020,” ujar Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.

Tambah Datuk Yahya, “Dia juga menyatakan rahsia Tuhan bahagian 5 : ‘Saya berpendapat bahawa : Nabi Muhammad SAW adalah Esa, bersalahan dengan makhluk. Baginda tidak beranak dan tidak diperanakkan, Nabi Muhammad SAW adalah induk (ummi) dan semua makhluk adalah cahaya (nur) baginda yang diseru Allah kepada baginda’. Ia diambil dari status Facebook yang dimuat naik melalui Facebook Suhai Ibni Mohammad.”

Bukan itu sahaja, Suhaini juga turut mendakwa Nabi Muhammad SAW tidak mempunyai kemaluan. Kelazatan melihat wajah Allah (wajah Rasulullah) adalah penyebab lahirnya zuriat Nabi SAW yang dikandungkan oleh Saidatina Khadijah RA.

Mengakhiri kenyataan, Datuk Yahya meminta mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah diharamkan dan dilarang berpegang dengan fahaman dan ajaran Suhaini Bin Mohammad sama ada dengan menjadi pengikut, ahli kumpulan, berada di dalam majlis atau acara yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan ajaran Suhaini Bin Mohammad.

“Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang mengajar, menganjur, belajar, mengadakan, membantu menjayakan apa-apa majlis yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan ajaran Suhaini Bin Mohammad adalah melakukan kesalahan.”

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button