Ajaran Sesat Millah Abraham Mahu Tubuh Kerajaan & Negara Sendiri – Exco Johor
BATU PAHAT, 19 Ogos 2024 – Kumpulan ajaran sesat Millah Abraham bercita-cita mahu menubuhkan kerajaan dan negara sendiri, dedah Exco Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.
Menurut beliau, “Hasil pemantauan dan risikan Jabatan Agama dan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), mereka mempunyai struktur mereka sendiri dan sampai satu peringkat untuk menubuhkan negara dan kerajaan sendiri.”
“Jadi kita tidak mahu pertubuhan ini bercambah dan keahlian mereka bertambah kerana mereka boleh mencetuskan perpecahan dan keharmonian negara.”
“Kita bimbang menimbulkan sebarang kekecohan kerana mereka bercita-cita untuk menubuhkan sebuah negara ala Millah Abraham,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai tidak menyimpan apa-apa bahan termasuk buku berkaitan ajaran sesat tersebut kerana ia menjadi kesalahan dibawah peruntukan undang-undang.
Jelas beliau, “Kita membuat pemantauan terhadap pengikut-pengikutnya atau mana-mana individu yang memiliki bahan-bahan cetakan, sebarang buku yang mengandungi ajaran tersebut jika tidak pasti nasihat saya jangan terima, simpan laporkan kepada jabatan agama ataupun PDRM.”
Rabu lalu, seorang lelaki berusia lingkungan 45 hingga 50-an disyaki bertaraf ‘menteri’ dalam hierarki Millah Abraham, ditahan dalam operasi bersepadu di Batu Pahat.
Ajaran sesat yang telah difatwakan haram di Johor itu telah cuba menggabungkan tiga agama iaitu Yahudi, Nasrani dan Islam, selain menghuraikan ajaran al-Quran berdasarkan fahaman sendiri tanpa rujukan kitab tafsir.