Antarabangsa

Ajar Quran, Wanita Uyghur Dipenjara 14 Tahun

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

XINJIANG, CHINA, 14 Januari 2022 – Seorang wanita Uyghur yang diculik oleh kerajaan China pada tengah malam empat tahun lalu telah dijatuhkan hukuman penjara 14 tahun atas kesalahan menyembunyikan beberapa naskhah al-Quran dan memberi didikan agama kepada kanak-kanak di perkampungannya, menurut laporan Radio Free Asia (RFA).

Hasiyet Ehmet terputus hubungan dengan dunia luar setelah diculik oleh pihak berkuasa di kampungnya di Daerah Manas, Xinjiang sejak Mei 2017.

Pada malam itu, pasukan polis merempuh masuk ke dalam rumah wanita berusia 57 tahun itu dan memakaikan karung hitam di kepalanya secara paksa.

Hasiyet merayu meminta kebenaran untuk memakai pakaian menutup aurat dan mengambil ubat-ubatannya, namun tetap tidak diendahkan oleh pihak polis.

Pegawai mahkamah Daerah Manas telah mengesahkan bahawa wanita tua itu telah dijatuhkan hukuman penjara selama 14 tahun.

“Ini disebabkan mengajar kanak-kanak al-Quran dan menyembunyikan dua naskhah al-Quran sewaktu pihak berkuasa mahu merampasnya, dan kemudian tertangkap,” kata pegawai itu. “Inilah sebab-sebab hukuman dia.”

Sumber yang tidak mahu identitinya didedahkan memaklumkan bahawa pihak berkuasa menjatuhkan hukuman penjara selama 14 tahun keseluruhannya — 7 tahun kerana mengajar al-Quran dan ilmu pendidikan agama pada kanak-kanak tempatan, dan tambahan 7 tahun lagi kerana menyembunyikan dua naskhah kitab suci sewaktu pihak polis melakukan operasi merampas kitab-kitab agama dari penduduk daerah Manas.

Walau bagaimanapun, Hasiyet dikatakan telah pun berhenti mengajarkan al-Quran selama dua tahun sebelum penangkapannya kerana kesihatannya telah pun uzur, menurut seorang kenalannya.

Beliau juga dikatakan terpaksa mengelakkan diri dari menghadiri majlis-majlis terbuka kerana keuzurannya.

Pihak RFA cuba mendapatkan maklumat lanjut daripada seorang anggota polis di Manas. Polis tersebut tidak menafikan penahanan Hasiyet, tetapi beliau enggan menjawab sebarang soalan kerana menurutnya, perkara ini adalah “rahsia kerajaan”.

Sembilan tahun sebelum Hasiyet ditahan, suami beliau telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas dakwaan cuba memperjuangkan kemerdekaan bumi Islam Xinjiang dari pentadbiran negara China.

Pihak berkuasa langsung tidak membuat pendakwaan ke atas Hasiyet di mahkamah, tetapi cuma mengutuskan surat pengumuman penjatuhan hukuman terhadapnya kepada ahli keluarga sebelah suami beliau — memandangkan suaminya sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup, kedua ibu bapanya telah meninggal dunia, dan nasib anak perempuannya yang berusia 13 tahun masih tidak diketahui.

Pihak berkuasa China dilaporkan telah menyasarkan dan menahan ramai ahli perniagaan, para pemikir, dan tokoh budaya dan agama Uyghur di sekitar Xinjiang selama beberapa tahun ini sebagai kempen untuk mengawal dan mengasimilasikan golongan minoriti ini kononnya sebagai langkah mengelakkan aktiviti pelampauan dan keganasan agama.

Ramai di antara umat Islam Uyghur dan minoriti berbangsa Turk lainnya dilaporkan telah ditahan secara paksa dalam jaringan kem tahanan di Xinjiang sejak 2017 lagi.

Leave a Reply

Back to top button