Air Bersih: Penyahgaraman Air Laut Adalah Pilihan Terakhir – SPAN
KUALA LUMPUR, 11 Julai 2023 – Proses penyahgaraman air laut adalah pilihan terakhir bagi menghasilkan air bersih terawat, sebaliknya kitar semula sisa air buangan lebih relevan untuk dipraktikkan di Malaysia, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago.
Menurut Santiago, proses penyahgaraman air laut akan mengeluarkan karbon dan kos yang amat tinggi.
BACA JUGA: YDP Agong Titah Rakyat Berhati-Hati Pilih Lokasi Riadah
BACA JUGA: Malaysia Catat Tahap Membimbangkan, Lebih Sejuta Rakyat Terjerumus Dadah
BACA JUGA: Pusat Konservasi Dan Penerangan Penyu Pulau Pangkor Bakal Diwarta
“Ia adalah pilihan terakhir kerana pertamanya, ia memerlukan kos amat tinggi daripada segi penggunaan tenaga sehingga lebih 10 kali ganda berbanding konvensional.”
“Daripada segi pelepasan karbon melebihi 200 kali ganda dari konvensional (penghasilan) sisa juga tinggi. Kalau sekarang negara kita menuju pelepasan karbon sifar bersih 2050, tidak mungkin (gunakan sumber air bersih dari air laut),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pendedahan hasil penemuan Jawatankuasa Teknikal Khas (JKTK) SPAN bersabit insiden gangguan bekalan air di Kedah dan Pulau Pinang akibat penurunan paras air Sungai Muda, hari ini.
Justeru, katanya ia bukan alternatif utama ketika ini tetapi turut mencadangkan mencontohi negara jiran seperti Singapura dan Thailand yang menggunakan sisa air buangan yang boleh dikitar semula lantas dimanfaatkan sektor perkilangan.
“Boleh gunakan sisa air buangan atau sisa air yang dikitar semula seperti dilakukan di Singapura, Thailand dan India kerana negara itu ada undang-undang (untuk berbuat demikian).”
“Air itu boleh digunakan di kawasan industri. Ia sisa air buangan (yang dikitar semula) bukan air proses, bagi kegunaan industri. Ia boleh menjimatkan banyak bekalan air.”
“Mungkin beberapa kawasan di Pulau Pinang boleh gunakan kaedah ini dalam tempoh lima tahun akan datang. Jadi, mereka boleh gunakan sisa air buangan dan langkah ini dapat jimatkan bekalan air (bersih) yang diproses (untuk kegunaan lain),” katanya.