Aidiladha: JPV Terengganu Beri Kelonggararan Laksana Ibadah Korban Luar Rumah Sembelih
KUALA TERENGGANU, 07 Jun 2024 – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu memberikan kelonggaran kepada umat Islam di negeri ini untuk melaksanakan ibadah korban di luar rumah sembelihan sempena Aidiladha.
Pengarah JPV Terengganu, Dr. Anun Man berkata, penganjur ibadah korban perlu memohon permit dari jabatan tersebut yang mana ia telah dibuka sejak Ahad lalu dan akan ditutup pada Rabu ini.
Kata beliau, pihaknya sangat menggalakkan agar semua penyembelihan ibadah korban dilaksanakan di tujuh rumah sembelih milik JPV serta sembilan lagi premis yang dikendalikan pihak swasta.
Namun, pihaknya bersetuju untuk memberi kelonggaran tersebut berikutan rumah sembelih milik JPV dan swasta tidak mampu untuk menampung penyembelihan ibadah korban.
Dr. Anum menyatakan, sebanyak 267 permit untuk penyembelihan di luar telah diluluskan yang membabitkan 694 ekor lembu sejak permohonan dibuka pada Ahad yang lalu.
Malah, JPV turut meramalkan bahawa akan terdapat peningkatan permohonan permit untuk penyembelihan luar pada minggu hadapan.
Pihaknya turut menjangkakan bakal berlaku peningkatan bagi permohonan kemasukan ternakan daripada luar ke negeri ini yang mana sejak permohonan pemindahan ternakan terutama lembu, kambing dan biri-biri dibuka pada Ahad lalu, sebanyak 53 permit yang membabitkan 1,301 ternakan ruminan sudah diluluskan.
Berkata dalam kenyataan yang sama, jumlah ternakan yang terbabit dengan ibadah korban tahun ini dianggarkan antara 5,000 hingga 7,000 ekor meliputi semua ternakan ruminan.