Aid4Palestine Anjur Sambutan Minggu Al-Quds Sedunia Peringkat Malaysia 2024
MARANG, 05 FEBRUARI 2024 – Aid4Palestine dengan kerjasama beberapa institusi Kerajaan Negeri dan NGO-NGO Islam menganjurkan Sambutan Minggu Al-Quds Sedunia demi menyokong perjuangan membebaskan Bumi Palestin daripada belenggu penjajahan.
Penganjuran Minggu Al-Quds yang berlangsung pada tarikh 02 hingga 09 Februari 2024 bersamaan 21 hingga 28 Rejab 1445H di Dewan Tok Guru Marang, Terengganu ini merupakan kali keempat dianjurkan di mana ia akan diisi dengan pelbagai program dan aktiviti yang bertemakan “Al-Quds Membebaskan Kita”.
Antara objektif penganjuran Sambutan Minggu Al-Quds ini adalah bagi menggerakkan massa untuk mengambil peduli tentang isu Palestin, menggabungkan peranan pelbagai institusi secara strategik dan bersinergi untuk melaksanakan projek yang praktikal demi mempertahankan kehormatan kota al-Quds, mendorong para ulama untuk memimpin masyarakat dalam menyokong, mempertahan dan menghidupkan semula isu ini di pelbagai negara serta mendidik rakyat berkaitan peranan mereka terhadap isu Palestin dan Baitulmuqaddis.
“Penganjuran Minggu al-Quds Sedunia ini yang diadakan secara tahunan pada setiap minggu terakhir bulan Rejab adalah mengambil kesempatan daripada semangat umat Islam di seluruh dunia yang mengadakan sambutan memperingati peristiwa al-Isra’ wal-Mi’raj.
“Kita mengambil peluang ini untuk menyedarkan umat Islam tentang kepentingan Masjid Al-Aqsa sebagai tempat berlakunya peristiwa Isra’ Mi’raj dan kedudukan Bumi Palesin yang berada dalam penjajahan selama lebih 75 tahun sejak tahun 1948.
“Ia juga bertujuan untuk mengambil semangat peristiwa pembebasan Baitulmuqaddis oleh Sultan Solehuddin al-Ayyubi yang berlaku pada minggu terakhir bulan Rejab iaitu tepatnya pada 27 Rejab tahun 583 Hijriah,” kata Pengerusi Aid4Palestine, YB Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, bagi mencapai objektif tersebut, Aid4Palestine telah menyusun pelbagai aktiviti yang mampu memberikan kesedaran kepada massa termasuk para pemimpin masyarakat betapa isu al-Quds dan Palestin ini sangat berkait rapat dengan diri mereka dan umat Islam seluruhnya.
“Mengambil semangat “Taufan al-Aqsa” yang telah membangkitkan semangat dan menyedarkan umat Islam di seluruh dunia tentang peri penting perjuangan membebaskan Masjid -Al-Aqsa dan mempertahankan kesucian kota al-Quds ini, Aid4Palestin menyahur seruan di peringkat antarabangsa menganjurkan Minggu Al-Quds Sedunia dengan tema “Al-Quds Membebaskan Kita”.
“Penentangan rakyat Palestin di Tebing barat dan diikuti dengan serangan terhadap tentera penceroboh di sempadan Gaza pada awal Oktober tahun lalu telah menggegarkan dunia, walaupun kesan peperangan kali ini menyaksikan kemusnahan besar terhadap penduduk di utara Gaza, namun dunia telah membuka mata untuk mengenali pengganas sebenar di sebalik konflik berdarah yang paling panjang dalam sejarah manusia moden ini,” kata beliau dalam kenyataan sama.
Dalam Minggu Al-Quds Sedunia ini juga, sebuah NGO iaitu Pertubuhan Pencinta Baitul Maqdis bakal dilancarkan di mana ia akan fokus dalam memperjuangkan isu al-Quds dan Palestin dari segi memberi kesedaran terhadap apa yang berlaku di lapangan supaya masyarakat negara ini terus mendapat maklumat dan tidak hanya menyokong perjuangan rakyat Palestin secara bermusim.