AI: Peluang Pekerjaan 9 Industri Utama Bakal Terjejas Menjelang 2030
SHAH ALAM, 01 Julai 2023 – Kemajuan kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) dijangka memberi kesan terhadap peluang pekerjaan di sembilan industri utama negara ini menjelang tahun 2030.
Dr Muhammad Aiman Arifin, Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (Sumber Manusia), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Arau menyatakan bahawa industri-industri yang terlibat termasuklah industri makanan, kesihatan, perkhidmatan pelanggan, perbankan, logistik, khidmat jualan, pengangkutan, pemasaran dan fesyen.
Kata beliau, biarpun teknologi AI membantu dalam beberapa industri, namun terdapat tiga kesan berbeza mengikut keperluan khusus dalam setiap industri.
Pertama, ia boleh menyebabkan tenaga kerja manusia tidak lagi diperlukan kerana akan digantikan sepenuhnya oleh AI.
BACA JUGA: Malaysia Menang Lagi Kes Tuntutan Sulu
BACA JUGA: Logo Halal Palsu, KPDN Serbu Kilang Susu Kacang Soya Teluk Intan
BACA JUGA: AWAS! Tanah Runtuh Di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands
Kedua, keputusan bergantung kepada majikan yang mungkin akan menggabungkan tenaga kerja manusia dan robot untuk memastikan kelancaran operasi dalam industri yang berkaitan.
Manakala yang ketiga pula, kebergantungan sepenuhnya kepada tenaga kerja manusia.
Terdahulu, sebuah portal berita tempatan melaporkan bahawa seramai 4.5 juta rakyat Malaysia berkemungkinan hilang pekerjaan menjelang 2030 sekiranya mereka tidak meningkatkan kemahiran (reskilling) dan melaksanakan latihan semula (upskilling).
Sehubungan itu, Dr Aiman mencadangkan supaya program peningkatan kemahiran dan latihan semula diperkasakan lagi bagi mengurangkan jurang antara kebergantungan kepada AI.
“Kita perlu fokus kepada aspek meningkatkan kemahiran serta mengasah bakat tenaga kerja sedia ada bagi mengisi keperluan dalam industri jika tidak ramalan 4.5 juta rakyat akan kehilangan pekerjaan menjadi realiti,” ujarnya.