Tempatan

Ahli Politik Tidak Boleh Berselindung Guna Institusi Diraja – Tengku Hassanal

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUANTAN, 10 Ogos 2021 – “Dalam erti kata lain, ahli politik juga tidak boleh berselindung atau menggunakan institusi raja untuk kepentingan politik mana-mana pihak,” titah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tegas baginda, institusi raja hendaklah dipelihara dan dikekalkan sebagai salah satu kuasa semak dan imbang terakhir untuk rakyat dan negara.

“Institusi raja mengatasi garis politik yang kekal bertindak tidak berpihak atau ‘non-partisan’ dan boleh bertindak sebagai penimbang tara sekiranya timbul pertelingkahan politik kepartian yang boleh menggugat kestabilan negara.”

Titah baginda lagi, perkenan raja pemerintah perlu dihormati sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan dan tidak boleh dianggap sebagai formaliti atau ‘ceremonial’ sahaja.

“Institusi raja di Malaysia hendaklah dihormati semua pihak. Kuasa raja pemerintah sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang tidak wajar dipertikaikan.”

Titah ini disampaikan sewaktu perasmian Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia 2021 di Wisma Sri Pahang, semalam.

Persidangan yang berlangsung secara dalam talian itu juga dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button