Ahli Politik Itali Draf Undang-Undang Untuk Tutup Ruang Solat
ROME, 27 Jun 2023 – Ahli politik gabungan pemerintah sayap kanan Itali mencadangkan rang undang-undang untuk menutup ruang solat bagi umat Islam di negara itu.
Media antarabangsa melaporkan, parti Brother of Italy pimpinan Perdana Menteri Giorgia Meloni membentangkan RUU tersebut dan menyasarkan ruang solat yang tiada di masjid atau yang tidak pernah mendapatkan kelulusan rasmi untuk beribadat seperti premis pertubuhan kebudayaan Islam.
Memetik laporan, jika RUU itu diluluskan, ratusan ruang solat Muslim akan ditutup dan perkara ini menimbulkan detik cemas terhadap masyarakat Muslim seramai 2.5 juta orang di negara itu.
BACA JUGA: Empangan Mula Merosot, 1 Berada Di Tahap Kritikal
BACA JUGA: Apology Tour Jocelyn Chia: PUSPAL Sahkah Tiada Permohonan Diterima
BACA JUGA: WASPADA! Aplikasi “Pink Whatsapp” Bawa Risiko Keselamatan Serius, MCMC Gesa Tidak Muat Turun
Dalam pada itu, draf RUU berkenaan ditentang oleh ahli politik pembangkang kerana ia dipercayai tidak berperlembagaan dan merupakan satu bentuk ‘diskriminasi yang tidak boleh diterima’.
Presiden Kesatuan Komuniti dan Pertubuhan Islam Itali (UCOII), Yassine Lafram juga menegaskan bahawa, “Ia tidak masuk akal. Ia bertentangan dengan kebebasan mengamalkan agama, apabila negara sepatutnya mewujudkan syarat yang membenarkan orang ramai menggunakan hak mereka untuk mengamalkan mana-mana agama.”
Menurut laporan kesatuan pada 2017, terdapat 1,217 ruang solat Muslim di Itali namun hanya enam daripadanya adalah masjid rasmi manakala kira-kira 50 lagi ruang dibenarkan untuk beribadat.
Selebihnya diklasifikan sebagai persatuan budaya yang juga digunakan sebagai ruang solat, dengan kebanyakannya didirikan di garaj, gudang, pangsapuri dan ruang bawah tanah.