Ahli Parlimen Persoal Tindakan KKM Mengenai Isu Doktor Media Sosial
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 25 Julai 2022 – YB Tuan Sabri bin Azit, Ahli Parlimen Jerai mempersoalkan apa tindakan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani isu doktor media sosial yang semakin berleluasa di negara ini.
Ujarnya, isu tersebut berikutan doktor media sosial melariskan jualan kosmetik tetapi telah menyebabkan kesan sampingan kepada para pengguna.
Menjawab persoalan berkenaan, Timbalan Menteri Kesihatan I, YB Dato’ Dr Haji Noor Azmi bin Ghazali menyatakan bahawa KKM sentiasa menjalankan pemantauan berterusan terhadap kosmetik bernotifikasi di pasaran.
Pemantauan tersebut dijalankan menerusi pemantauan kualiti kosmetik bernotifikasi termasuk pemantauan iklan kosmetik yang disiarkan dalam media cetak, media elektronik, media sosial dan juga platform e-dagang.
“Aktiviti pemantau kualiti kosmetik ini bermakna, kita katakan ialah ‘post-marketing surveillance’, iaitu persampelan, penyemakan label, pengendalian aduan, pengujian makmal, pemantauan iklan di platform e-dagang, penyaringan kandungan bahan dan info produk, audit fail maklumat, dan juga audit premis atau pengilang,” jelasnya.
Selain itu, tindakan regulatori seperti memberi amaran, membatalkan notifikasi, membuat pemantauan dan membuat serbuan premis juga dikenakan sekiranya produk kosmetik didapati diiklankan dengan tuntutan perubatan ataupun tuntutan melampaui skop takrifan kosmetik.
KKM turut melancarkan kaedah pembelajaran iaitu pendidikan kepada rakyat.
“Kita ada buat duta ubat, kempen kenali ubat, kempen berwaspada supaya jangan kita tertipu dengan jualan online yang menyimpang jauh. Jadi rakyat atau pengguna memahami dan mereka buat aduan kepada KKM. Ini yang kita nak, yang nak dilakukan hari ini.”
Beliau turut memaklumkan bahawa KKM amat prihatin dan sangat serius serta komited tentang iklan dan jualan secara atas talian agar sentiasa menepati standard dan kualiti yang ditetapkan.