Tempatan

Ahli Parlimen Muslim Mesti Bersatu, Elak Tuding Jari – Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab. Aziz

Kuala Lumpur: Pakar Perlembagaan, Prof Dr Shamrahayu A Aziz menyeru Ahli Parlimen terutamanya yang beragama Islam bersatu hati dalam pemerkasaan pentadbiran keadilan syariah.

“Kepada Ahli Parlimen beragama Islam, berundinglah dengan baik secara bersama dalam hal pentadbiran keadilan Islam dan ambillah tanggungjawab secara bersama. Jangan perli memperli atau menuding jari antara satu sama lain,” tulis beliau dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya.

Menurut beliau, satu perkara yang baik perlu dilaksanakan ialah penambahbaikan pentadbiran keadilan di Mahkamah Syariah dan RUU 355 atau pindaan kepada Akta 355.

“Sepanjang ingatan saya, ekoran daripada cadangan pindaan kepada Akta 355 tersebut, kerajaan pada masa itu telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi memperkemas sistem pentadbiran keadilan Syariah.”

Tambah beliau, tujuan jawatankuasa dan kluster ditubuhkan adalah bagi menggerakkan usaha pemerkasaan ini secara strategik dan holistik.

Beliau memberi pandangan dalam kenyataan tersebut selepas melihat satu desakan daripada pihak yang menggesa ahli Parlimen PAS mengemukakan cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau lebih dikenali sebagai Akta 355.

Di samping itu, Prof Dr Shamrahayu juga menyifatkan tanggungjawab pemerkasaan Mahkamah Syariah atau pentadbiran keadilan Syariah adalah tanggungjawab semua pemimpin tidak kira politik mana asalnya.

“Ia adalah tanggungjawab mereka yang menjadi Menteri atau mereka yang tidak menjadi Menteri. Ini kerana Islam itu adalah milik semua walaupun tanggungjawab yang lebih besar adalah ke atas semua Ahli Parlimen yang memegang jawatan Menteri atau Timbalan Menteri berkaitan agama.”

Beliau juga menyeru pemimpin-pemimpin Islam agar tidak menuding jari kepada mana-mana pihak dan mempolitikkan isu pentadbiran keadilan Islam serta menyelesaikannya secara baik.

Akhir kata, beliau mengingatkan kepada ahli Parlimen Islam untuk meneruskan usaha sebelum ini yang bukan sahaja memberi manfaat kepada seluruh umat Islam malah kepada seluruh rakyat Malaysia.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button