Tempatan

The Tunku Azizah Handmade Market Sambut Ulang Tahun Pertama

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR – The Tunku Azizah Handmade Market (TTAHM) Online dijangka meraikan penglibatan 100 usahawan kraf di TTAHM Online esok (3 Mac) secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom sempena genap setahun penubuhannya.

Dinaungi serta dirasmikan oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 27 Februari 2020, platform ini telah banyak merubah kehidupan usahawan kraf tangan.

Perkara ini dikongsikan oleh Shereen Khoo dan Nur Aishah Jamaludin seperti dilaporkan oleh sebuah portal.

Menurut Shereen Khoo, seorang ibu tunggal, meniti usia 65 tahun, tidak banyak kerja berat yang mampu dilakukannya demi menyara keluarganya termasuk dua anak yang menghidap penyakit autism.

Yang mampu dilakukan hanyalah kerja-kerja ringan seperti menjual biskut setiap kali perayaan tertentu serta kerja-kerja penyelenggaraan secara sambilan dengan pendapatan yang tidak seberapa.

Namun, setelah menyertai TTAHM, produk yang dihasilkannya seperti tuala muka bersulam, pemegang atau penutup botol air tali bahu, pouch tisu sulaman, rantai kunci burung hantu dan pelitup muka mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada pelanggan berbanding ketika beliau menjualnya secara fizikal.

Nur Aishah Jamaludin juga menyatakan perkara yang sama.

“Di luar sana terdapat pelbagai platform e-dagang yang lebih bersifat komersial, namun melalui TTAHM Online, ia hanya mengetengahkan produk buatan tangan yang lebih bersifat eksklusif iaitu hasil titik peluh daripada pengkarya.”

Nur Aishah telah berjaya memasarkan tiga produknya iaitu sleeping pouch, bekas pelitup muka dan tote bag melalui jenama Athena Orange Cat setakat ini.

Pengerusi Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) Fully Chye Goet Lee berkata, platform TTAHM Online diperkenalkan di www.sewingworld.com.my bagi membantu usahawan kraf yang terkesan dengan pandemik COVID-19 sekaligus bergerak mengikut trend semasa.

Ia ditubuhkan untuk membantu usahawan industri pembuatan kraf tangan tempatan memasarkan produk sendiri secara dalam talian.

TTAHM juga turut menawarkan pelbagai latihan bagi meningkatkan kemahiran usahawan kraf agar mereka boleh berdikari.

“TTAHM Online bergerak seiring dengan revolusi industri 4.0 (IR 4.0) supaya industri jahitan kreatif tidak ketinggalan dan dapat bersaing dengan industri lain di samping mempunyai pasaran yang lebih besar sehingga ke luar negara,” ujar Fully Chye Goet Lee.

Selain pengumuman pemenang bagi pertandingan kraf buatan tangan terbaik Malaysia, sebanyak 79 mesin jahit akan diserahkan kepada pelajar cemerlang B40 jurusan fesyen dan pakaian dari Kolej Komuniti dan Politeknik dalam majlis sambutan ulang tahun pertama penubuhan esok.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: