Tempatan

Agong Tubuh Pasukan Bencana Istana Negara Bantu Mangsa Banjir

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 12 Januari 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan keprihatinan Baginda untuk membantu mangsa-mangsa banjir dengan menubuhkan sebuah “Pasukan Bencana Istana Negara”, kongsi Facebook rasmi Istana Negara.

Pasukan Bencana Istana Negara ini ditubuhkan atas cetusan idea Seri Paduka Baginda sendiri dengan tujuan menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa yang telah hilang tempat berteduh dan mengalami kerugian besar akibat kemusnahan harta benda susulan bencana banjir buruk.

Selain itu, pasukan yang diterajui oleh Brigadier Jeneral Dato’ Mohd Zahari bin Yahya, yang juga merupakan Juruiring Tentera Udara kepada Seri Paduka Baginda turut turun membantu mangsa banjir membersihkan masjid dan rumah mereka yang terjejas.

Istana Negara menerusi perkongsian di laman facebooknya memaklumkan, sukarelawan yang menganggotai pasukan tersebut terdiri daripada pegawai dan kakitangan Istana Negara sendiri.

Antara sumbangan yang dihulurkan berbentuk barang keperluan harian seperti peralatan mandian, pakaian, tuala, makanan kering dan air, termasuk kit COVID-19.

Semalam, Pasukan Bencana Istana Negara meneruskan misi bantuan kepada mangsa banjir dengan menyumbang barangan keperluan dan wang tunai kepada 41 keluarga di Kampung Yong dan Kampung Atok, Kuala Tahan, Jerantut, Pahang.

Misi bantuan tersebut diketuai Brigadier Jeneral Datuk Zahari Yahya sendiri dan turut disertai Juruiring Tentera Darat, Brigadier Jeneral Datuk Sharizan Wan Chik dan Penolong Pengurus Bantuan Kemanusiaan Yayasan TM Nuraini Ishak.

Atas perkenan Seri Paduka Baginda, misi bantuan itu turut melibatkan penyertaan sukarelawan Pasukan Telekom Malaysia Reaching Out Volunteers (TMROVers) yang bermula dari 10 pagi hingga 6 petang.

“Seri Paduka Baginda telah menzahirkan hasrat agar Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara bekerjasama dengan pihak atau badan bukan kerajaan dalam membantu jentera kerajaan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: