Tempatan

Agong Titah Rakyat Lengkapkan 2 Dos Vaksin

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 01 Disember 2021 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati rakyat supaya melengkapkan suntikan dos vaksin COVID-19 dan juga mendapatkan dos penggalak (booster dose) bagi melindungi dan memelihara kesihatan serta keselamatan diri, ahli-ahli keluarga tersayang dan masyarakat.

Menurut Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, titah ini disampaikan susulan penularan varian baharu COVID-19 iaitu Omicron yang kini mula merebak ke banyak negara seluruh dunia.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan kebimbangan susulan keputusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation WHO) baru-baru ini mengkategorikan varian Omicron sebagai Variant of Concern, yang diklasifikasikan lebih berbahaya dan cepat merebak berbanding varian-varian terdahulu.”

Berikutan itu, Seri Paduka Baginda menyeru rakyat sentiasa berwaspada dan tidak alpa dalam menjalankan aktiviti-aktiviti harian dengan norma baharu bagi memastikan penularan wabak COVID-19, khususnya varian Omicron, dapat dibendung walaupun tiada kes varian baharu ini dilaporkan di Malaysia.

Ujar Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara itu lagi, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan supaya rakyat melaksanakan tanggungjawab sosial dengan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika bergejala dan mengasingkan diri jika disahkan positif atau ditakrifkan sebagai kontak rapat sekali pun tidak bergejala.

“Sehubungan dengan itu Seri Paduka Baginda menzahirkan sokongan penuh terhadap tindakan tegas Kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara, mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan, kawalan sempadan dan survelan COVID-19 bagi pengembara yang tiba pintu masuk negara, terutama dari negara yang melaporkan kes COVID-19 varian Omicron.”

Menurut WHO, varian Omicron juga berkemungkinan mempunyai risiko lebih tinggi untuk jangkitan semula (re-infection) berbanding varian-varian lain. Selain itu, mutasi dalam varian Omicron berpotensi mengurangkan keberkesanan vaksin.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: