Agong Titah KPDNHEP Pergiat Usaha Tangani Isu Keselamatan Makanan Dan Kos Sara Hidup
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 26 Ogos 2022 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) agar mempergiat usaha menangani isu keselamatan makanan dan kos sara hidup.
Titah Seri Paduka Baginda, usaha perlu ditingkatkan bagi mengekang sesetengah peniaga daripada mengaut keuntungan yang tidak munasabah. Hal ini kerana, sekiranya tindakan seperti itu tidak dibendung, ia boleh menyebabkan berlakunya inflasi sekali gus menjejaskan kos sara hidup.
“Usaha melindungi rakyat daripada penipuan, isu halal serta isu berkaitan timbangan dan sukatan termasuk melakukan siasatan terhadap semua aduan awam, haruslah dipergiatkan,” titahnya sewaktu Majlis Jamuan Jubli Emas Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP, malam tadi yang turut diserikan dengan kehadiran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Seri Paduka Baginda turut bertitah agar pihak KPDNHEP memberi perhatian dalam usaha membanteras penyelewengan dan penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi selain terus mencari peluang untuk mempertingkatkan sumbangan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Titah Seri Paduka Baginda, kesejahteraan rakyat dan usaha bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi dalam negeri juga perlu terus diperkasakan.
Al-Sultan Abdullah bertitah di mana bahagian penguatkuasaan KPDNHEP yang ditubuhkan pada 17 April 1972 itu telah didedikasikan untuk memastikan bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi di pasaran dan penglibatannya dalam Pasukan Petugas Khas Jihad Tangani Inflasi ketika ini turut menyumbang kepada kestabilan harga barangan keperluan.
“Ketika negara berhadapan dengan COVID-19, ramai yang tidak mengetahui bahawa bahagian penguatkuasaan ini turun memainkan peranan mereka dalam menjaga kesejahteraan rakyat.”
“Seperti wira yang tidak didendang, mereka telah turun padang setiap hari untuk memastikan pematuhan undang-undang dalam sektor perdagangan dan pengedaran,” titah Baginda.
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda turut bertitah di mana pasukan itu juga telah bertindak secara proaktif dalam menetapkan bekalan dan harga kit ujian kendiri dan pelitup muka serta mengawal harga vaksin COVID-19 serta pelbagai keperluan harian yang lain.
Justeru, titah Seri Paduka Baginda, bahagian penguatkuasaan ini telah memberikan perkhidmatan dan menjalankan tanggungjawab yang terbaik kepada ke atas kesejahteraan dan kemakmuran hamper 32 juta pengguna di Malaysia. Titahnya, menerusi sumbangan ini, negara berjaya kekal berdaya saing dan dapat menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.
“Justeru, laksanakan tanggungjawab dengan jujur dan amanah agar perdagangan dalam negara kekal maju dan pengguna terus dilindungi.”