Tempatan

Agong Titah Agar Krisis Sekuriti Makanan Ditangani Segera

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SELASA, 07 Jun 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar krisis sekuriti makanan ditangani segera terutama dalam keadaan dunia yang menghadapi pelbagai kemelut dan kejutan ketika ini.

Baginda turut menitahkan supaya satu pelan jangka panjang dirangka untuk mengukuhkan sekuriti makanan dan menjamin kos sara hidup untuk berada pada tahap yang bersesuaian.

Selain itu, Seri Paduka Baginda menasihatkan agar tidak mewujudkan bibit pertikaian apabila setiap kali negara berhadapan dengan masalah sekuriti makanan dan peningkatan kos sara hidup.

“Kita semua seharusnya fokus kepada membantu memulih kemaslahatan rakyat.”

“Beta berharap agar kerajaan beta dan pemimpin di setiap lapisan untuk menangani masalah kelangsungan hidup yang membelenggu segelintir rakyat beta, termasuklah kos sara hidup yang tinggi di samping peningkatan harga komoditi industri dan makanan.”

“Sikap ‘bila sudah merah, kapur salahkan kunyit dan kunyit salahkan kapur’ tidak akan dapat membantu dan membela nasib rakyat beta yang terhimpit dengan pelbagai dugaan,” titah Seri Paduka sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi di Istana Negara semalam.

“Pemimpin adalah tidak ubah bagai condong yang akan menongkat, bagai rebah yang akan menegak.”

“Pemimpin adalah sandaran kepada harapan rakyat. Kebahagiaan dan kesusahan rakyat adalah merupakan cerminan diri yang wajib digalas oleh setiap pemimpin,” titah Baginda.

Al-Sultan Abdullah juga menasihatkan rakyat supaya memainkan peranan dengan menanam sikap berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah serta tidak melakukan pembaziran.

Seri Paduka turut menyanjung tinggi inisiatif pengukuhan perlindungan sosial yang dilaksanakan oleh Kerajaan termasuk program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia dan menaruh harapan tinggi agar program itu dapat mencapai sasarannya untuk menghapuskan miskin tegar menjelang 2025.

Dalam titah itu, Seri Paduka Baginda turut merakamkan terima kasih kepada seluruh anggota pentadbiran, penjawat awam, anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan yang telah mencurahkan bakti kepada negara yang tercinta ini dan turut berpesan agar rakyat terus mengamalkan penjagaan kesihatan diri yang tinggi bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif dan selamat.

Seri Paduka Baginda juga turut menzahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada 1,021 penerima Darjah Bintang Kebesaran dan Pingat Persekutuan pada tahun 2022 dan berharap pengurniaan itu menyuntik semangat baru untuk terus berbakti kepada masyarakat dan negara.

“Beta dan Raja Permaisuri Agong berdoa semoga negara kita Malaysia dan rakyat yang beta kasihi akan sentiasa berada di bawah perlindungan dan kerahmatan Allah serta aman makmur dan bersatu padu di bawah lindunganNya,” demikian titah Baginda berdua mendoakan kesejahteraan buat rakyat.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: