Tempatan

Agong Seru Kerajaan Rangka Pelan Bantu Rakyat

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 31 Ogos, 2021- KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia di negara ini mahupun yang berada di luar negara.

Bersesuaian dengan tema sambutan Hari Kebangsaan iaitu “Malaysia Prihatin”, Seri Paduka Baginda menyeru Kerajaan untuk terus merangka dan menyusun pelan tindakan untuk membantu rakyat yang terkesan dan mengembalikan semula iklim ekonomi yang sihat.

“Rakyat wajar untuk terus dilindungi agar dapat berdiri tangkas menghadapi impak negative kemelut ini,” demikian menurut kenyataan dari Facebook Istana Negara.

Selain itu, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan kesyukuran kerana pada usia kemerdekaan negara menginjak ke-64 tahun, perpaduan dan keharmonian rakyat terus menjadi asas kukuh dalam mengekalkan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara yang dicintai.

“Sambutan Hari Kebangsaan kali ini adalah merupakan tahun kedua rakyat meraikannya dalam suasana yang masih diselubungi oleh ancaman pandemik COVID-19, namun ianya tidak menghalang dan mematahkan semangat patriotisme dan kesatuan kita untuk terus meraikan hari yang penuh bersejarah ini.”

Justeru, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa sekiranya semangat dan roh perjuangan enam dekad yang lalu diterap dan disuburkan kembali pada hari ini, nescaya negara juga berupaya untuk merdeka dari ancaman pandemik COVID-19 buat selama-lamanya.

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menasihat seluruh rakyat agar terus menjaga kesihatan diri dan turut bersatu padu dalam mewujudkan suasana persekitaran yang selamat demi untuk membendung penularan pandemik ini.”

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button