Tempatan

Agong Sempurnakan Majlis Perasmian dan Penamaan Kem Al-Sultan Abdullah Markas Angkatan Bersama

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUANTAN, 27 Julai 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penamaan Kem Al-Sultan Abdullah Markas Angkatan Bersama di Jalan Panching, Kuantan, semalam.

Turut berangkat anakanda Baginda, KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Sejurus keberangkatan tiba, Seri Paduka Baginda yang juga selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkenan menerima Tabik Hormat Diraja dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota diketuai Mejar Mohd Noorazmin Abd Rahim.

Seri Paduka Baginda kemudiannya dipersembahkan dengan gimik acara pelancaran yang melibatkan gabungan aset dan aksi penerjunan anggota khas dari ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Seterusnya, Seri Paduka Baginda turut diberi persembahan taklimat mengenai peranan serta fungsi Markas Angkatan Bersama (MK AB) bertempat di Pusat Operasi Bersama (POB) serta berinteraksi secara sidang video dengan pegawai dan anggota ATM yang sedang melaksanakan tugas Operasi Pasir di Sabah serta yang bertugas di misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menempatkan lebih 300 pegawai dan anggota pelbagai peringkat dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan dalam ATM, kem Al-Sultan Abdullah yang dinamakan sempena nama Seri Paduka Baginda telah dirancang pembinaannya sejak 2007 dengan pemilihan di Jalan Panching susulan kedudukan kem dan pangkalan Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara sedia ada di Kuantan sekali gus dapat menyokong pengoperasian MK AB.

Markas Angkatan Bersama (MK AB) berkeluasan 39.56 hektar itu diwujudkan untuk mengendalikan tugas berdasarkan kepada konsep penugasan bersama (Jointness), yang bersifat tiga khidmat (Tri-Service) di dalam ATM, selain berperanan untuk menyelaraskan keperluan dalam operasi dan misi di bawah PBB.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut oleh YAB Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi bin Buang, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Indera Yazid Arshad.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: