Tempatan

Agong Sempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 19 Oktober 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara, semalam.

Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia (DKAT) 2022 sesi pertama tersebut menyaksikan seramai 284 penerima pingat.

Pada istiadat tersebut, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Selain itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) kepada 12 penerima termasuk dua pegawai tentera negara asing; Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) (34 penerima), Kesatria Angkatan Tentera (KAT) (118 penerima) dan Bentara Angkatan Tentera (BAT) (114 penerima).

Dalam majlis tersebut juga, lapan orang pegawai tentera negara asing dikurniakan darjah kehormat melibatkan lima penerima darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) iaitu Panglima Tentara Nasional Indonesia (TNI) Jenderal TNI Andika Perkasa; Panglima Angkatan Tentera Diraja Thailand General Chalermphon Srisawasdi; dan Chief of General Staff Armed Forces of Saudi Arabia General Fayyad Hamed Al Ruwaili.

Turut menerima darjah itu, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Muhammad Haszaimi Bol Hassan dan Commanding General of the Philippine Army Lieutenant General Romeo S Brawner Jr.

Penerima kehormat PSAT pula dikurniakan kepada dua pegawai tentera dari Arab Saudi, Major General Fahad Saad Aljohani dan Major General Pilot Ahmed Ali Al Dubais, manakala penerima kehormat darjah PAT iaitu Brigedier General Abdullah Khaled S Alyamini.

Hadir sama ke Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia adalah Menteri Kanan Pertahanan Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein, Timbalan Menteri Pertahanan Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: