Tempatan

Agong Santuni Mangsa Banjir Di 5 PPS Pahang

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

PEKAN, 27 Disember 2021 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam berkenan menziarahi dan menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Pekan, Pahang.

Pada hari itu, Seri Paduka Baginda berkenan meluangkan masa menyantuni mangsa-mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Pulau Manis, PPS Institut Kemahiran Belia (IKBN) Paloh Hinai, PPS Balairaya Kampung Tebat, PPS SMK Lepar dan PPS SK Lepar.

Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di PPS tersebut dengan harapan ianya dapat mengurangkan beban yang ditanggung akibat musibah banjir.

Turut berangkat, KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Hadir sama, Ketua Polis Pahang, Dato’ Ramli Mohamed Yoosuf, Pegawai Daerah Pekan, Dato’ Zaliza Zulkefli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, YB Dato’ Khairuddin Mahmud serta pemimpin setempat.

Pada hari yang sama, Pasukan Bencana Istana Negara telah berlepas ke Mentakab, Pahang bagi misi bantuan bencana banjir kepada penduduk yang terjejas.

Misi bantuan itu diketuai oleh Pengarah Operasi Pasukan Bencana Istana Negara Brigadier Jeneral Dato’ Zahari bin Yahya dan melibatkan seramai 45 sukarelawan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Istana Negara.

Sumbangan yang dihulurkan berbentuk barang keperluan harian seperti toiletries, pakaian, tuala, makanan kering dan air, termasuk COVID-19 kit.

Pasukan Bencana Istana Negara juga dilengkapi dengan peralatan untuk membantu mangsa banjir membersihkan rumah mereka yang terjejas.

Pasukan Bencana Istana Negara ini ditubuhkan atas cetusan idea Seri Paduka Baginda dengan tujuan menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa yang telah hilang tempat berteduh dan mengalami kerugian besar akibat kemusnahan harta benda susulan bencana banjir buruk.

Leave a Reply

Back to top button