Tempatan

Agong Rasmikan Projek Pelaburan Malaysia Di London, Berkenan Santuni Raja Charles III

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini. 

KUALA LUMPUR, 13 Oktober 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual merasmikan sebuah projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London selepas kunjungan hormat Seri Paduka Baginda dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke atas Baginda Raja United Kingdom, Raja Charles III, di Istana Buckingham, London, United Kingdom, semalam.

Menurut hantaran rasmi Istana Negara, kunjungan hormat itu bersempena lawatan khas Seri Paduka Baginda berdua ke London, dari 10 Oktober hingga 16 Oktober 2022.

Baginda Raja Charles III berkenan menyantuni dan beramah mesra dengan Seri Paduka Baginda berdua pada sesi kunjungan hormat itu, yang berlangsung selama 40 minit bermula pada jam 3.00 petang waktu tempatan.

Seri Paduka Baginda dan Baginda Raja Charles III turut menyentuh isu-isu hubungan dua hala antara Malaysia dan United Kingdom termasuk isu alam sekitar dan pelancaran projek yang dirasmikan Seri Paduka Baginda, ‘Battersea Power Station’.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua melakukan kunjungan hormat itu mencerminkan keakraban Seri Paduka Baginda dengan Baginda Raja Charles III yang telah menjalinkan persahabatan sejak lebih empat dekad, bermula dengan bersukan polo bersama-sama ketika remaja di pelbagai peringkat kejohanan antarabangsa.

Selain itu, kunjungan hormat ini yang juga pertemuan kali kedua antara kedua-dua pemimpin pada tahun ini, turut mencerminkan hubungan dua hala yang rapat antara Malaysia dan United Kingdom sejak kemerdekaan 65 tahun lalu.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: