Tempatan

Agong Rasmikan Majlis Pemasyhuran Kuantan Sebagai Bandaraya

KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengisytiharkan Kuantan sebagai sebuah bandaraya.

Perisytiharan itu turut menyaksikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan, Datuk Hamdan Hussin dilantik sebagai Datuk Bandar Kuantan pertama.

Upacara istiadat pengisytiharan bermula dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin menyerahkan Surat Cara Pemasyhuran Kuantan sebagai bandaraya kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Rosdy Wan Ismail sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Baginda kemudian berkenan menandatangani plak pemasyhuran Majlis Bandaraya Kuantan dan plak perasmian Kompleks Bandaraya Kuantan.

Menurut Pahang Media, “Pemahsyuran Kuantan sebagai bandaraya ke-19 merupakan hari yang amat bersejarah dan sewajarnyalah dengan status baru ini mewujudkan peluang untuk penduduk di daerah ini menikmati pembangunan fizikal dan ekonomi disertai dengan kekayaan mentaliti dan moral meliputi aspek akhlak mulia, budi bahasa, berintegriti, beretika dan beriltizam tinggi.”

Turut berangkat dalam majlis tersebut ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ditemani isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Sri Dr Sallehuddin Ishak dan barisan EXCO Pahang juga hadir dalam Majlis Pemasyhuran hari ini.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button