Tempatan

Agong Perkenan Penubuhan RCI Siasat Isu Tabung Haji (TH)

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 20 Januari 2022 – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pengurusan dan pengoperasian Tabung Haji (TH) dari 2014 hingga 2020.

RCI tersebut berkuat kuasa 20 Januari hingga 19 Julai dan suruhanjaya itu diberikan tempoh enam bulan bagi melaksanakan siasatan serta menyediakan laporan untuk dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ahli jawatankuasa yang dilantik, bebas dan tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan Tabung Haji bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan telus, adil dan saksama.

Suruhanjaya itu juga akan menyiasat hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari tahun 2014 hingga 2020.

Selain itu, ia akan menentukan sama ada terdapat tindakan menyembunyikan (cover up) maklumat berkaitan isu-isu yang dibangkitkan dan perbuatan memberi kenyataan mengelirukan mengenainya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Dato Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan, 6 ahli RCI dilantik yang diketuai mantan Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif.

Lima lagi ahli RCI ialah bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman; Pengasas Kumpulan RHB Tan Sri Abdul Rashid Hussain; dan bekas Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid.

Turut dilantik ialah Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Unishams) Profesor Dr Asmadi Mohamed Naim dan Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Norsyahrin Hamidon.

“Mereka yang dilantik ini telah dipastikan bebas dan tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan TH,” kata Dato Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

RCI ini akan mencadangkan tindakan yang sesuai diambil terhadap pihak-pihak terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung jika mereka didapati melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa tanpa menjejaskan apa-apa siasatan dan tindakan perundangan yang sedang dilaksanakan pihak-pihak berkuasa berkaitan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: