Tempatan

Agong Mahu UniPSAS Lahirkan Graduan Untuk Jadi Pelapis Alim Ulama

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUANTAN, 26 Julai 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menzahirkan harapan agar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) dapat melahirkan lebih ramai graduan yang berkualiti untuk menjadi pelapis golongan alim ulama dan menjadi universiti Islam tersohor, lapor media tempatan, Berita Harian.

Bagi menyemarakkan lagi syiar Islam dalam bidang pendidikan, Kebawah Duli Tuanku bertitah, UniPSAS yang bermula sebagai sebuah kolej kecil pada tahun 1996 perlu terus meneroka bidang pengajian baharu serta menjalin hubungan strategik dengan universiti lain termasuk di luar negara.

“UniPSAS juga hendaklah menjadi teladan sebagai sebuah universiti Islam yang ditadbir dengan cekap, telus dan berintegriti.”

“Menerusi pemasyhuran ini, beta yakin nama UniPSAS akan lebih dikenali dan membawa UniPSAS menjadi universiti berwibawa dalam pengajian agama serta menjadi pilihan utama sebagai destinasi untuk menyambung pengajian bagi anak muda terutamanya daripada lepasan sekolah menengah agama,” titah Kebawah Duli Tuanku yang berkenan bercemar duli menyempurnakan Majlis Pemasyhuran UniPSAS semalam.

Turut berangkat mengiringi Kebawah Duli Tuanku adalah KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, YAB Menteri Besar Pahang; Dato Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan YAM Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Dalam majlis sama, Kebawah Duli Tuanku berkenan mengurniakan watikah pelantikan sebagai Canselor UniPSAS kepada KDYMM Pemangku Raja, Pro-Canselor kepada YAB Menteri Besar Pahang dan Pro-Canselor II kepada YAM Tengku Panglima Raja.

Menerusi titah Diraja, Kebawah Duli Tuanku turut berkongsi mengenai UniPSAS yang ‘sangat dekat’ di hati kerana penubuhan dan pembangunannya sinonim serta berkait rapat dengan Paduka Ayahanda, Almarhum KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah yang sentiasa prihatin dengan pembangunan institusi pendidikan itu.

“Beta telah menunaikan impian Almarhum (Sultan Ahmad Shah) untuk membangunkan sebuah kolej Islam di Pahang menjadi universiti Islam. Beta ingin berpesan kepada Canselor dan seluruh pimpinan serta ahli pengarah untuk terus bekerja memajukan UniPSAS agar namanya terus tersohor sebagai universiti Islam terunggul di negara ini.”

Al-Sultan Abdullah bersyukur kerana hasil cetusan idea Kebawah Duli Tuanku sendiri, Akademi Hadis UniPSAS dapat ditubuhkan bagi membudayakan budaya hadis dalam masyarakat serta Institusi Jawi yang bertujuan memperkasakan tulisan Jawi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: