Tempatan

Agong Dan Sultan Kedah Berkenan Sempurnakan Upacara Tanam Pokok Sempena Majlis Mesyuarat Raja-Raja Ke-257

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 24 November 2021 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah hari ini berkenan menyempurnakan upacara menanam pokok Rajah Kayu (Cassia Fistula) di perkarangan Istana Negara, bersempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-257.

Menurut Facebook Istana Negara, upacara penanaman pokok ini adalah sebagai simbolik KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-257.

Dalam upacara itu, Sultan Sallehuddin yang merupakan sultan Kedah turut berkenan memberi tabik hormat ke atas Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang dibarisi oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja di Dataran Utama.

KKU dan Upacara Penanaman Pokok adalah cetusan idea KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Mesyuarat Raja-Raja.

Mesyuarat dua hari yang bermula semalam turut melibatkan keberangkatan semua Raja-Raja Melayu kecuali Kelantan, Pahang dan Perlis.

Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan, Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang dan Perlis diwakili Raja Muda Perlis.

Turut hadir adalah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri kecuali Sarawak yang diiringi Timbalan Ketua Menteri.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-257 itu berlangsung selepas kali terakhir diadakan semasa mesyuarat ke-256 pada 19 dan 20 Februari 2020 yang dipengerusikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button