Tempatan

Agong dan Raja Permaisuri Santuni Mangsa Kebakaran

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUANTAN, 29 April 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan mencemar duli melawat empat mangsa kebakaran rumah di Jalan Permatang Badak Perdana 2 yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang.

Menurut hantaran di laman rasmi Istana Negara, keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah ke lobi utama HTAA pada 3.15 petang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda baginda iaitu Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja Lt. Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Selain itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Pahang Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa, Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Nor Azimi Yunus dan Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu adalah antara yang hadir sama ke HTAA.

Seri Paduka Baginda berdua meluangkan masa hampir 35 minit melawat mangsa di ICU selain turut berkenan mendengar taklimat ringkas Pengarah JBPM Pahang, Wan Mohammad Zaidi mengenai kebakaran tersebut sebelum berangkat pulang pada 3.55 petang.

Menurut Pengarah JBPM Pahang, Datuk Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa, punca kejadian kebakaran dan letupan dahsyat melibatkan dua rumah di Jalan Permatang Badak Perdana 2, pada awal pagi Khamis masih dalam siasatan.

Beliau tidak menolak kemungkinan letupan itu dipercayai berpunca daripada beberapa bahan termasuk mercun dan bunga api.

“Berdasarkan tinjauan, saya lihat ada silinder gas dan bunga api. Tapi Kita juga tidak tahu apakah sebenarnya bahan yang menyebabkan letupan.”

Dalam kejadian tersebut, terdapat enam mangsa iaitu seorang lelaki cedera melecur 50 peratus, seorang lelaki cedera ringan, dua orang perempuan cedera, seorang bayi perempuan berusia lapan bulan cedera dan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: